suria

Remaja Maut Kenderaan Terjunam Dalam Gaung

Seorang mangsa meninggal dunia di tempat kejadian setelah kenderaan pacuan empat roda yang dinaikinya terbabas dan terjunam ke dalam gaung di KM260 lebuhraya PLUS arah utara berhampiran Terowong Menora pada Rabu. Seorang lagi yang cedera parah dibawa ke hospital untuk rawatan. Foto Bernama

KUALA KANGSAR: Seorang remaja lelaki maut manakala seorang lagi cedera parah selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas dan terjunam ke dalam gaung di Kilometer 260.7 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara selepas Terowong Menora di sini, Rabu.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu, mangsa Muhammad Shafiq Danial Alias, 18, maut di tempat kejadian manakala Muhammad Nur Hafiz Mohd Ridzwan, 20, patah kaki.

Pegawai Turus Trafik Negeri, DSP Mohd Mahiri Hussin berkata siasatan awal mendapati kenderaan jenis Mitsubishi Triton yang dipandu Muhammad Shafiq hilang kawalan sebelum terbabas.

"Kenderaan yang dinaiki mereka dari Ipoh menuju ke Kuala Kangsar itu hilang kawalan lalu melanggar penghadang jalan dan menjunam ke dalam gaung sedalam 50 meter.

"Kedua-dua mangsa tercampak keluar daripada kenderaan," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera turut menerima rawatan di hospital sama.

Mohd Mahiri berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui punca kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama

Artikel Lain