KUALA LUMPUR: Pengerusi Pasukan Petugas Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch) Datuk R. Sri Sanjeevan pada Rabu memfailkan permohonan bagi mencabar perintah tahanan reman 21 hari terhadapnya mengikut Akta Pencegahan Jenayah 2013 (Poca). Permohonan itu difailkan di kaunter pendaftaran Mahkamah Tinggi Jenayah di sini, melalui Tetuan Gobind Singh Deo and Co. Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Sanjeevan ketika ditemui berkata permohonan itu adalah untuk menyemak perintah tahanan reman yang dikeluarkan Mahkamah Majistret pada 11 Julai lepas mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Jenayah. Katanya ketika prosiding reman pada 11 Julai itu, peguam S. Preakas yang mewakili Sanjeevan mengesahkan bahawa aduan dan siasatan terhadap anak guam hanya membabitkan dirinya sendiri sebagai suspek. "Sedangkan mengikut seksyen itu (di bawah Poca) jelas menunjukkan bahawa perintah tahanan reman itu hanya boleh dikeluarkan terhadap seseorang yang menjadi anggota sesebuah kumpulan," katanya. Beliau berkata oleh itu, perintah reman itu tidak mengikut undang-undang dan Sanjeevan tidak boleh ditahan reman mengikut Poca, kerana akta itu tidak terpakai ke atas anak guamnya. Isnin lepas, Mahkamah Majistret membenarkan permohonan polis untuk menahan reman Sanjeevan, sehingga 31 Julai. Sebelum ini, Sanjeevan dan pemandunya, seorang warga India, ditahan reman di bawah Seksyen 506, Seksyen 384 dan 385 Kanun Keseksaan atas dakwaan melakukan ugutan jenayah dan peras ugut dekat Plaza Tol Nilai pada 22 Jun. Beliau ditangkap berikutan laporan polis dibuat oleh seorang pengadu yang mendakwa suspek mengugut menyebarkan fitnah terhadapnya menerusi laman sosial Facebook.