suria

Pegawai Tinggi Bukit Aman Terima Ugutan Bunuh

Ayob Khan.

MELAKA: Pegawai tinggi Bukit Aman menerima ugutan bunuh daripada anggota kumpulan militan IS, Muhamad Wanndy Mohamad Jedi.

Penolong Pengarah Anti Pengganas, Cawangan Khas (E8), Datuk Ayob Khan menerima ugutan bunuh menerusi satu panggilan telefon daripada anggota militan itu secara peribadi.

Ancaman itu dikeluarkan selepas Ayob aktif dalam membanteras keganasan dan menahan abang Muhamad Wanndy pada Mei lalu.

Ayob antara beberapa pegawai tinggi termasuk Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang dikatakan dalam senarai sasaran kumpulan militan IS yang mengancam untuk menggegar Bukit Aman.

Malah Ayob berkata IS turut melabelkan institusi kerajaan sebagai taghut (sifat golongan yang kufur terhadap perintah Allah SWT) dan menjadikan mereka sebagai sasaran utama.

"Mereka menganggap kami sebagai menyokong taghut dan mahu menyerang kami terlebih dahulu diikuti golongan bukan Islam di negara ini," katanya.

Beliau berkata pegawai polis terutamanya yang terlibat dalam membanteras keganasan turut diletakkan dalam senarai sasaran utama yang menyokong pemimpin taghut.

Namun, Ayob tidak gentar dengan ugutan bunuh itu dan akan terus menggagalkan sebarang usaha keganasan di negara ini.

"Kami berjaya mematahkan sembilan rancangan mensasarkan institusi tertentu dan tempat awam setakat ini.

"Ini akan diteruskan tanpa rasa takut terhadap mana-mana pihak yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas," katanya.

Ayob mendedahkan seramai 213 individu termasuk 27 warga asing ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki ada kaitan dengan kumpulan pengganas.

Beliau berkata Kedan dan Perak mendahului senarai dengan masing-masing 30 tangkapan, Kuala Lumpur (28), Johor (19), Selangor (17), Negeri Sembilan (13), Kelantan (11), Pahang dan Terengganu (masing-masing lapan), Sabah dan Melaka (masing-masing enam), Pulau Pinang dan Perlis (masing-masing empat) dan Sarawak (dua).

Tiada tangkapan dilaporkan di Labuan setakat ini.

Artikel Lain