suria

Gerai Diserbu Gara-Gara Makanan RM1

GEORGE TOWN: Sejak tersebarnya kisah makanan yang dijual pada harga RM1 di media sosial, beratus bungkus makanan di gerai Ok Boss di sini laris dalam tempoh tiga jam.

Pemilik gerai trersebut, 'Tarzan' atau nama sebenarnya Lim Chin Aun, 29, berkata, peniagaan yang mula beroperasi sejak 8 Julai di rumah keluarganya di Lorong Sungai Dua menunjukkan perkembangan yang baik setakat ini.

"Hari ini, kami mula berniaga pada pukul 6 pagi dan semua makanan habis dijual pada pukul 9.

"Saya benar-benar gembira kerana konsep ini telah diterima dengan baik," katanya pada Rabu.

"Pada masa ini, kami menyediakan 300 bungkus nasi lemak klasik, 150 bungkus nasi lemak kimchi, 200 bungkus bihun goreng tomyam dan 200 pek sandwic sardin dan telur mayonis setiap hari. Semuanya pada harga RM1 setiap satu."



Gerai itu juga menyediakan set telur separuh masak dan roti bakar, agar-agar sebagai pencuci mulut dan minuman seperti Milo, kopi dan minuman ringan pada harga yang sama.

Chin Aun, yang juga memiliki sebuah studio tarian dan bekerja sebagai jurujual kereta berkata, dia dan adiknya Chin Khang, 26, yang berkerja sebagai akauntan mendapat idea ini beberapa bulan lalu.

"Ekonomi sekarang tidak baik dan harga makanan semakin meningkat. Kami mahu melawan trend itu dan menunjukkan bahawa kita boleh menyediakan makanan yang lazat pada harga berpatutan.

"Ia juga merupakan cara untuk kami membantu pelajar dan mereka yang keluar bekerja pada awal pagi untuk mengisi perut dengan sarapan yang baik dan harga berpatutan.

"Saya dan adik bangun seawal jam 2.30 pagi untuk menyediakan makanan tetapi saya gembira dan puas hati apabila menerima sambutan yang baik. Pengorbanan itu amat berbaloi," katanya.



Chin Aun berkata beliau bergilir-gilir dengan Chin Khang untuk mengendalikan gerai kerana kedua-duanya berkerja sepenuh masa manakala bapa mereka, Ewe Huat, 59, akan membantu mengikut kelapangan masanya.

"Kami berharap untuk memperbanyakkan menu dan jenis makanan untuk pelanggan.

"Kami juga mempunyai pelanggan yang membeli secara pukal kerana makanan ini dijual dalam paket kecil yang mudah untuk diedarkan," katanya.

Beliau berkata mereka juga menerima pesanan awal daripada pelanggan.

Siswazah Universiti Sains Malaysia, Jackson Yew berkata makanan RM1 mengingatkannya ketika zaman kanak-kanak apabila makanan di kantin sekolahnya dijual pada harga sama.

Gerai Ok Boss dibuka setiap hari dari pukul 6 pagi hingga 2 petang.

OK Boss, makanan RM1, sarapan

Artikel Lain