suria

Pembangkang Sudah Bersatu Kecuali PAS - Amanah

PETALING JAYA: Pembangkang sudah bersatu kecuali PAS yang enggan bersama dengan gabungan berkenaan, demikian menurut Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad sebagai respon kepada seruan parti Islam itu supaya semua pihak berdamai.

"Kami termasuk antara yang bersama-sama dalam gabungan Pakatan Harapan dan PAS adalah mereka yang berada di luar.

"Jadi sedikit ganjil apabila mereka yang berkata bahawa kita perlu bekerja bersama-sama menentang Barisan Nasional. Kami telah bekerja bersama-sama sebaliknya mereka tidak," katanya yang juga Ahli Parlimen Shah Alam.

Pada Rabu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa semua parti pembangkang untuk menghentikan pertelingkahan dan sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha menewaskan musuh bersama mereka.

Mengenai sama ada Amanah akan menerima PAS, Khalid berkata bekas partinya itu sentiasa dialu-alukan untuk menyertai Pakatan Harapan.

"Pintu rundingan untuk bekerjasama menghadapi musuh yang sama tidak pernah ditutup. Jadi ia adalah ganjil untuk Tuan Ibrahim menyeru orang lain menghalakan senjata mereka kepada BN kerana itulah yang telah kami lakukan selama ini. Beliau seharusnya membangkitkan perkara ini kepada PAS," katanya kepada The Star Online.

Bagaimanapun Khalid menasihatkan PAS supaya menetapkan pendirian mereka sebelum menyeru kepada perpaduan pembangkang.

"Kita tidak mahu PAS menyertai kami menentang BN tetapi kemudiannya mengatakan bahawa BN bukan musuh, tetapi Amanah dan DAP pula adalah musuh.

"PAS perlu mengadakan mesyuarat, membuat keputusan mereka dan membuat menetapkan siapa kawan dan siapa musuh. Dan apabila sudah membuat keputusan, jangan buat U-turn," katanya.

Sebelum ini Tuan Ibrahim berkata, pertengkaran yang berterusan dalam kem pembangkang hanya akan memberi manfaat kepada BN.

Khalid Samad, PAS, Pakatan Harapan

Artikel Lain