suria

Waris Penumpang MH17 Akan Fail Tuntutan Dua Hari Sebelum Ulang Tahun Kedua Nahas

PETALING JAYA: Hanya dua hari sebelum ulang tahun kedua nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine, sekumpulan 11 waris kepada tujuh penumpang bukan rakyat Malaysia akan memfailkan tuntutan sivil di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat.

mStar Online difahamkan, tuntutan yang akan dikemukakan pada pukul 10 pagi Jumaat adalah di bawah terma Perjanjian Montreal 1999.

Difahamkan, tuntutan itu turut mempunyai kaitan dengan pesawat MH17 diterbangkan di zon konflik di timur Ukraine pada 17 Julai 2014.

Menurut sumber juga, kesemua tujuh penumpang terdiri daripada tiga warga Belanda dan empat warga Indonesia, yang maut dalam nahas itu.

"Daripada tujuh penumpang, dua daripada mangsa adalah kanak-kanak," kata sumber.

Menurut sumber, kesemua kes itu dikendalikan oleh Datuk Arunan Selvaraj dan Sudesh Kumar dari firma guaman Tetuan Rusmah Arunan & Associates di Kuala Lumpur.

Dilaporkan, firma guaman itu juga mengendalikan tuntutan kes penumpang MH370 yang sehingga kini masih misteri.

Tragedi pesawat MH17 ditembak jatuh dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014, mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal.

MH17

Artikel Berikut

'Superman' DAP Keluar Parti

Artikel Lain