Menurut beliau, Kabinet pada mesyuaratnya Rabu lepas telah mencadangkan hanya penumpang sahaja dibenarkan berada di kaunter masuk manakala penghantar-penghantar perlu berada di luar bangunan atau ditempatkan di tempat tertentu.
"Kabinet telah arahkan Menteri Pengangkutan (Datuk Seri Liow Tiong Lai) memperincikan cadangan ini dengan MAHB, harap dapat lakukan dalam waktu terdekat," katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia di sini Jumaat.
Zahid, yang mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Mesyuarat Asia-Eropah ke-11 yang bermula Jumaat, turut berkata Liow telah diminta mencari mekanisme supaya kereta-kereta yang menghantar atau menunggu penumpang tidak diletakkan berhampiran terminal.
Zahid berkata beliau telah mengarahkan supaya kawalan keselamatan di semua lapangan terbang diperketatkan, termasuk penambahan anggota polis dan tentera di bawah National Blue Ocean Strategy atau Strategi Lautan Biru Kebangsaan.
Menurut beliau, peralatan untuk meningkatkan kawalan keselamatan di lapangan terbang akan ditambah, termasuk pembelian aset canggih seperti CCTV berdefinisi tinggi dan 'peralatan mengenal pasti wajah'.
Pada masa yang sama, beliau berharap negara-negara ASEAN yang lain akan turut mengetatkan keselamatan di lapangan terbang masing-masing.
"Saya yakin negara-negara ASEAN lain bekerjasama melalui Jabatan Imigresen dan Kementerian Pengangkutan bagi mengetatkan kawalan keselamatan," katanya.