suria

Perjalanan Terus LRT Sentul Timur-Putra Heights Mulai Ahad - Prasarana

KUALA LUMPUR: Pengguna perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Sri Petaling-Ampang kini boleh menikmati perjalanan terus antara Sentul Timur dan Putra Heights, yang akan dikenali secara rasmi sebagai LRT Laluan Petaling mulai Ahad.

Prasarana Malaysia Berhad dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, selesai sahaja migrasi penuh sistem isyarat untuk laluan LRT bagi Laluan Sri Petaling-Ampang tengah malam ini, pengguna tidak lagi perlu bertukar tren di Stesen Sri Petaling untuk perjalanan antara Sentul Timur dan Putra Heights, yang juga berintegrasi dengan LRT Laluan Kelana Jaya.

"Bukan saja mudah dan lancar, perkhidmatan LRT ini juga murah kerana bagi perjalanan antara Sentul Timur dan Putra Heights sepanjang 37 kilometer, tambangnya hanya RM3.50 dengan menggunakan pakej MyRapid SMART 30.

"Untuk mereka yang mempunyai kad konsesi seperti warga emas, pelajar dan golongan kurang upaya, bayaran tambang adalah RM2.40," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, secara keseluruhan perjalanan penuh Laluan Sri Petaling akan melalui 29 stesen termasuk kawasan Puchong, Kinrara, Sri Petaling, Bukit Jalil, Sungai Besi, Bandar Tasik Selatan, Cheras, pusat bandaraya dan Sentul yang mengambil masa 65 minit bagi perjalanan satu hala.

"Mulai esok juga, perjalanan dari Sentul Timur tidak lagi beroperasi secara berselang-seli dengan tren-tren ke Ampang apabila penstukturan baharu laluan LRT Laluan Sri Petaling-Ampang dilaksanakan.

"Menerusi penstuktruran baharu, Laluan Ampang yang melibatkan perjalanan pendek untuk lapan stesen termasuk Ampang dan Chan Sow Lin akan ditukarkan menjadi perkhidmatan pengantara dengan pengguna bertukar tren di stesen Chan Sow Lin," kata kenyataan itu. - Bernama

LRT, Prasarana

Artikel Sebelum

Artikel Lain