suria

Malaysia Harap Terima Laporan Awal MH17 Akhir Tahun Ini

PUTRAJAYA: Malaysia berharap akan menerima laporan muktamad mengenai penyelidikan forensik berkaitan pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH17 yang ditembak jatuh di Donetsk, Ukraine dua tahun lepas, menjelang akhir tahun ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata laporan siasatan yang dijalankan Pasukan Penyiasatan Bersama (JIT) dianggotai Australia, Brazil, Belgium, Belanda dan Ukraine itu juga akan mengandungi jenis senjata yang digunakan serta maklumat penting lain secara terperinci.

Katanya kerajaan Malaysia juga berharap masyarakat antarabangsa akan terus memberi sokongan mereka dalam memastikan pihak yang bertanggungjawab dalam tragedi itu dikenakan tindakan atas perbuatan mereka.

"Dua tahun lepas, 298 nyawa hilang dalam jenayah tidak berperikemanusiaan dan tidak adil yang mengakibatkan Penerbangan MH17 terhempas," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu bersempena ulang tahun kedua tragedi MH17, esok.

Pesawat Boeing B777 itu, yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur bersama 298 penumpang dan anak kapal, ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai 2014.

Liow berkata, melalui sisatan jenayah yang sedang dilakukan, pasukan JIT terus komited dan berazam untuk memastikan penjenayah yang bertanggungjawab menyebabkan begitu banyak manusia tidak bersalah kehilangan nyawa, akan dikenakan hukuman setimpal.

"Sekali lagi, kami mengulangi seruan kami agar langit di seluruh dunia dipastikan berada dalam keadaan lebih selamat. Kerjasama antarabangsa perlu dipertingkat bagi meningkatkan standard keselamatan penerbangan awam.

"Ini termasuk pelaksanaan pengesanan jejak secara tepat masa global bagi semua pesawat komersial dan menangani risiko yang dihadapi penerbangan awam di zon dilanda konflik," katanya.

Beliau seterusnya berkata: "Sambil kita memperingati ulang tahun kedua tragedi MH17, doa dan harapan kami sentiasa mengiringi waris mangsa.

"Percayalah, Kerajaan Malaysia tidak akan berputus asa dengan usaha kami untuk memastikan keadilan akan terlaksana".

MH17

Artikel Sebelum

Artikel Lain