suria

Rakyat Malaysia Terkandas Di Turki Akan Teruskan Perjalanan

Penumpang pelbagai negara terkandas di lapangan terbang di Istanbul akibat cubaan rampasan kuasa yang dilakukan tentera Turki.

KUALA LUMPUR: Seramai 158 rakyat Malaysia yang dilaporkan masih terkandas di Lapangan Terbang Esenboga, Ankara dijangka dapat meneruskan perjalanan mereka ke destinasi seterusnya lewat hari ini atau esok.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata seramai 31 lagi individu yang terkandas di Lapangan Terbang Ataturk, Istanbul pula dijangka berlepas ke destinasi masing-masing hari ini (17 Julai).

"Seramai 32 rakyat Malaysia selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi ini," menurut kenyataan itu.

Kementerian Luar turut mengesahkan keadaan di Turki semakin reda dan terkawal sejak dari insiden cubaan rampasan kuasa oleh elemen-elemen tentera Turki pada Jumaat.

Operasi di semua lapangan terbang utama Turki juga dilaporkan kini pulih sepenuhnya.

Menurut kenyataan itu pasukan khas yang terdiri daripada pegawai-pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Ankara, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Tourism Malaysia dan Malaysian Palm Oil Council (MPOC), dibantu Konsul Kehormat Malaysia di Istanbul, telah digerakkan dan ditempatkan di semua lapangan terbang utama Turki untuk membantu rakyat Malaysia yang transit, terkandas atau perlu meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya.

Kementerian berkenaan akan terus memantau situasi semasa di Turki dan menghulurkan bantuan kepada rakyat Malaysia yang terlibat berikutan insiden itu.

Media antarabangsa melaporkan 161 orang awam dan 104 peserta rampasan kuasa terbunuh dalam pertempuran yang meletus, dan lebih 1,440 orang cedera. 

Turki