suria

Mavcom Kaji Setiap Penumpang Udara Dikenakan Caj

Seramai 83.5 juta penumpang membuat perjalanan di lapangan terbang negara ini tahun lepas dan tahun ini bilangannya dijangka meningkat. Jika kadar RM1 dikenakan kepada setiap penumpang, Mavcom bakal memperoleh lebih dari RM83 juta setahun bagi membiayai operasinya.
PETALING JAYA: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) yang ditubuhkan pada Mac, sedang melihat kemungkinan mengenakan kadar RM1 bagi setiap penumpang untuk membiayai operasinya, menurut beberapa eksekutif penerbangan.


Selain mengenakan caj kepada penumpang syarikat penerbangan, sumber pendapatan lain yang diterima suruhanjaya ini termasuklah melalui pembayaran lesen.

Menurut sumber, caj sedia ada iaitu caj perkhidmatan penumpang (PSC) untuk pelancong juga sedang dalam kajian.

"Pada peringkat ini ia masih diperiksa dan pada satu ketika, satu keputusan perlu dibuat. Sejak mula beroperasi, ia telah dibiayai oleh kerajaan,'' kata seorang eksekutif syarikat penerbangan.

Seramai 83.5 juta penumpang membuat perjalanan di lapangan terbang di negara ini tahun lepas dan tahun ini bilangannya akan menjadi lebih tinggi kerana permintaan bagi perjalanan udara di rantau ini masih memberangsangkan.

"Jika mereka mengenakan bayaran RM1 bagi setiap penumpang, mereka dengan mudah akan mendapat RM83.5 juta setahun, dan ini tidak termasuk yuran pelesenan lain yang mereka akan pungut daripada syarikat penerbangan," katanya.

Walaupun para penumpang telah membiayai operasi pihak berkuasa penerbangan awam di negara-negara seperti Singapura, Australia, Hong Kong, UAE, England dan Jerman, negara-negara lain, termasuk Malaysia, setakat ini telah menolak cubaan untuk mengenakan caj ke atas penumpang yang sudah dibebani dengan caj lapangan terbang.

"Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Suruhanjaya Tenaga dan Suruhanjaya Sekuriti adalah pengawal selia yang tidak bergantung kepada pengguna dalam mendapatkan pembiayaan.

"Mereka mengenakan fi dan menguruskan operasi mereka daripada yuran-yuran. Mungkin Mavcom perlu melihat ke arah itu, bukannya meminta pelancong mengeluarkan wang untuk memastikan mereka kekal beroperasi,'' kata seorang lagi eksekutif industri.

Mavcom mengawal perkara-perkara ekonomi dan komersial berkaitan penerbangan awam di negara ini. Ia akan memperkenalkan satu set peraturan bagi industri dan membantu kerajaan dalam menentukan masa depan industri.

Ia juga akan mengeluarkan beberapa lesen kepada syarikat penerbangan, pengendali daratan dan operasi aerodrome, di mana ia boleh mengutip yuran untuk mengekalkan operasinya.

Bagaimanapun jumlah yang dikumpul mungkin tidak mencukupi, oleh itu, ia mengintai satu lagi pilihan iaitu pelancong.

"Mengenakan sebarang bayaran akan memberi kesan kepada industri pelancongan dan pengguna walaupun dengan bayaran yang mungkin kecil. Ia hanya menambah  jumlah yang perlu dibayar oleh pelancong.

"Dengan kenaikan PSC, ia hanya akan meningkatkan kos perjalanan,'' kata eksekutif itu, sambil menambah pelancong bukan sahaja perlu membayar PSC, tetapi juga yuran pentadbiran, bayaran sampingan dan juga insurans perjalanan selain tambang udara.

Beliau berkata beberapa syarikat penerbangan tidak memansuhkan surcaj bahan api yang dikenakan beberapa tahun lalu.

Buat masa ini caj bahan api kekal munasabah, tetapi jika harga bahan api meningkat lagi, syarikat penerbangan boleh mengenakan surcaj bahan api, di mana penambahan caj dikenakan ke atas pengguna.

"Tidak dinafikan perjalanan melalui udara adalah mewah tetapi jangan kenakan cukai kepada pengguna untuk menghalang pertumbuhan permintaan, '' tambah beliau.

PSC semasa di KLIA2 bagi destinasi antarabangsa dan domestik masing-masing adalah RM32 dan RM6 bagi setiap penumpang, manakala di KLIA, adalah RM65 dan RM9.
Mavcom, caj penumpang, PSC

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain