suria

Suri Rumah Dijangkiti Difteria Stabil, Tidak Membimbangkan

SEREMBAN: Keadaan seorang suri rumah berumur 41 tahun yang disahkan dijangkiti difteria tidak membimbangkan, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman.

Beliau berkata pesakit berada dalam keadaan stabil dan masih dikuarantin untuk tempoh sehingga gejala penyakit itu hilang.

Dr Lokman Hakim berkata semasa kecil, suri rumah tersebut mengambil imunisasi yang lengkap, namun apabila semakin berumur, tahap imunitinya menurun ditambah dengan pelbagai perubahan persekitaran dan faktor lain.

"Apa-apa juga imunisasi, sampai satu tempoh yang tertentu ia akan menurun, tetapi kalau kita lihat dalam kes ini, pesakit tidak kritikal dan dia stabil maknanya walaupun imunitinya menurun, tetapi dia ada keupayaan lagi untuk 'melawan' penyakit itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan perkhidmatan terapi sensori integrasi Klinik Kesihatan Seremban 2 di sini Isnin.

Pada Ahad, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata suri rumah dari Rembau itu disahkan dijangkiti difteria pada 16 Julai lepas, menjadikan ia kes pertama melibatkan orang dewasa di negara ini tahun ini.

Pesakit itu sudah mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Rembau pada 13 Julai lepas dan selepas disyaki menghidap difteria, dia dirujuk ke Hospital Tuanku Jaafar dan kemudian dimasukkan ke wad untuk isolasi serta rawatan.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan Dr Rahim Abdullah berkata pesakit kini dalam keadaan stabil dan masih dikuarantin sekurang-kurangnya 10 hingga 14 hari termasuk sekiranya perlu dikuarantin di rumah.

"Kita juga telah mengambil sampel pada semua anggota keluarga pesakit termasuk suami dan enam orang anaknya yang berumur lapan hingga 21 tahun.

Siasatan awal mendapati pesakit dan semua anggota keluarga beliau sudah diimunisasi dan setelah dewasa imunisasi ini mungkin kurang berkesan.

"Kebimbangan kita ialah dua anak pesakit yang berumur bawah 12 tahun kerana mereka kurang ketahanan. Sampel tersebut kita telah hantar kepada Institut Penyelidikan Perubatan dan kita sedang menunggu keputusannya. Setakat ini, kita dapati kes ini adalah terpencil," katanya. - BERNAMA

difteria, suri rumah

Artikel Lain