suria

Keluarga Harap Kru Bot Tunda Yang Hilang Selamat

Adik kepada seorang anggota kru bot tunda yang dijumpai terdampar kosong di perairan Dent Heaven, Tambisan, Sabah, Khairul Khir Ismail, 19, menunjukkan gambar abangnya Mohd Ridzuan Ismail,32, ketika tinjauan fotoBERNAMA di rumahnya di FELDA Jengka Tujuh, dekat Maran, Selasa. Ridzuan bersama empat lagi rakan bekerja sebagai anggota kru bot tunda dilaporkan hilang dalam perjalanan dari Sandakan ke Semporna.-fotoBERNAMA
TAWAU: Keluarga lima orang kru bot tunda yang hilang dipercayai diculik di kawasan perairan Tambisan, Lahad Datu, Isnin, hanya mampu berdoa dan berharap agar kesemua kru berkenaan berada dalam keadaan selamat.

Bot tunda yang dalam perjalanan dari Sandakan ke Semporna itu dijumpai terkandas di perairan Tambisan dengan enjin masih hidup namun kelima-lima kru bot tunda didapati tiada di dalam bot itu.

Isteri kepada juragan bot tunda itu, Sutini Jamalung, 54, berharap agar suaminya Abd Rahim Summas, 62, dapat kembali dengan selamat.

Sutini yang mempunyai masalah kesihatan berkata kali terakhir suaminya menghubunginya ialah sekitar pukul 8 pagi semalam dan ingin bercakap dengan cucunya, Ameliah Rusli, 4.

"Rahim sangat rapat dengan Ameliah. Boleh dikatakan setiap hari dia menelefon cucunya untuk bertanyakan khabar," katanya dan menambah suaminya telah bekerja di syarikat pemilik bot tunda itu kira-kira empat tahun.

Anak kedua Abd Rahim, Hasnawati, 39, pula berkata dia dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh rakan sekerja bapanya yang menaiki bot tunda berasingan yang kebetulan melewati kawasan bot tunda bapanya ditemui.

"Saya diberitahu bot tunda yang dinaiki bapa saya terkandas, enjin masih hidup tetapi dia tidak nampak orang di dalam bot tunda berkenaan. Mereka kemudian berlalu meninggalkan kawasan itu," katanya.

Sementara itu, ibu kepada seorang lagi mangsa, Hasmiah Lahap, 50, berkata kali terakhir anaknya, Fandy Bakran, 26, pulang ke rumah ialah pada 11 Julai lepas.

"Beberapa hari kemudian dia pergi lagi (belayar)," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pukat, Tanjung Batu, di sini hari ini.

Hasmiah berkata Fandy merupakan anak bongsunya dan telah bekerja di syarikat berkenaan sejak Ogos tahun lepas.

"Saya mengetahui kehilangan Fandy melalui rakan-rakan sekerjanya yang menyatakan anak saya hilang dari bot tundanya bersama kru yang lain," katanya.

Menurutnya, sebaik menerima maklumat itu, dia bersama anggota keluarga lain berusaha menghubungi telefon bimbit Fandy namun tiada jawapan, walaupun berdering.

"Menjelang tengah malam semalam, telefon bimbit Fandy tidak lagi dapat dihubungi," katanya.

Polis tidak menolak kemungkinan lima kru yang hilang selepas sebuah bot tunda ditemui terdampar di perairan Dent Heaven, Tambisan semalam, menjadi mangsa culik.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun berkata polis dan anggota keluarga belum menerima sebarang panggilan meminta wang tebusan daripada mana-mana pihak.

Lima kru tersebut dikenali sebagai Abd Rahim, juragan bot dari Kampung Tanjung Batu, Tawau; empat kru bot iaitu Tayudin Anjut, 45, dari Kampung Tanjung Batu Darat, Tawau; Mohd Ridzuan Ismail, 32, dari Felda Jengka 7, Bandar Jengka, Pahang; Fandy, dari Kampung Pukat Tawau dan Mohamad Jumadil Rahim, 23, dari Batu 2, Jalan Apas, Tawau.
bot tunda, kes culik

Artikel Lain