KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen Ampang di sini pada Selasa menetapkan 19 September depan untuk sebutan semula kes seorang penulis blog sambilan yang didakwa memuat naik gambar palsu membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di laman sosial Facebook miliknya, tahun lepas. Hakim Rushan Lutfi Mohamed menetapkan tarikh itu selepas kes berkenaan disebut di hadapannya dengan dihadiri peguam Dr Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar yang mewakili tertuduh, Abdul Muhaimin Mohd. Muhayedin, 27, dan Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene. Abdul Muhaimin didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi melalui laman profil Facebook 'Adam Mukhriz Muhayeddin' secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang palsu dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada 1 tengah hari, 20 Oktober 2015. Pautan itu kemudian dibaca oleh penulis blog lain di Blok A, Tingkat 5, Nombor 8, Pangsapuri Ampang Mewah, Jalan Mewah 6, Ampang dekat sini, kira-kira 9.45 pagi pada 22 Oktober 2015. Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama, yang memperuntuk hukuman penjara maksimum setahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya. Pada 18 Mei lepas, Abdul Muhaimin mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu dan dibebaskan dengan ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.