suria

Beberapa Negara Lain Sudah Kuat Kuasa Peraturan Ketat Terminal

PETALING JAYA: Kajian membenarkan hanya penumpang berada dalam terminal lapangan terbang sebenarnya merupakan langkah keselamatan yang sudah diamalkan di beberapa lapangan terbang di negara lain.

Contohnya hanya penumpang dengan tiket yang disahkan untuk melakukan perjalanan dibenarkan memasuki Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi di New Delhi, India.

Menurut laman web pelancongan fullstopindia.com, semua pintu masuk di lapangan terbang akan dilindungi oleh dua pengawal bersenjata.

"Penumpang mesti menunjukkan pasport dan tiket mereka untuk mendapatkan akses. Tanpa bukti tempahan penerbangan yang sah, anda akan diarah pulang.

"Ini bermakna tiada keluarga, tiada kawan, tiada pemandu atau tiada pembantu dibenarkan untuk mengiringi penumpang ke lapangan terbang," demikian menurut laman web itu.

Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal di Dhaka, Bangladesh juga tidak membenarkan bukan penumpang berada dalam ruang legar.

"Adalah lebih baik untuk mengucapkan selamat tinggal kepada orang-orang yang disayangi dan dekat dengan anda di rumah dan bukannya bersesak di lapangan terbang," kata pengurusan lapangan terbang itu dalam laman webnya.

Tambah kenyataan dalam laman web itu lagi, bagi yang bukan penumpang, mereka perlu membeli tiket masuk ke dalam terminal berlepas dan mereka tidak boleh masuk semula apabila meninggalkan kawasan itu.

Keselamatan juga ketat di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino di Manila, Filipina.

Keluarga dan rakan-rakan dikehendaki menunggu di kawasan yang ditetapkan di luar terminal untuk menyambut ketibaan penumpang.

Begitu juga hanya penumpang dibenarkan memasuki lapangan terbang untuk berlepas.

Selepas serangan pengganas ke atas Pusat Dagangan Dunia pada 11 September 2001, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat berkata lapangan terbang negara itu mungkin tidak lagi membenarkan orang tanpa tiket melepasi pusat pemeriksaan keselamatan.

Sebagai contoh, laman web Lapangan Terbang Antarabangsa Hartsfield-Jackson Atlanta dan Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles menyatakan dengan jelas bahawa hanya penumpang dibenarkan melepasi pusat saringan pemeriksaan.

Keluarga, rakan-rakan atau bukan penumpang boleh memohon pas pintu masuk dari syarikat penerbangan jika perlu untuk mengiringi penumpang dengan keperluan khas dan perubatan, orang tua serta kanak-kanak.

Langkah itu menurut Associated Press, adalah antara beberapa langkah yang diambil untuk meningkatkan keselamatan selepas insiden September 11.

Lapangan terbang di Belgium dan Turki baru-baru ini menjadi sasaran serangan pengebom bunuh diri hingga mencetuskan kebimbangan tentang keselamatan lapangan terbang termasuk di Malaysia.

Sehubungan itu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan sedang menimbangkan cadangan untuk membenarkan hanya penumpang berada di dalam terminal di semua lapangan terbang utama di Malaysia bagi meningkatkan tahap keselamatan.

Tambah Ahmad Zahid, yang juga menteri dalam negeri, usaha kini dilakukan untuk mempertingkat keselamatan di Malaysia termasuk menambah anggota polis dan tentera pakaian preman, yang bertugas di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain