suria

Mahkamah Khas Siber Dijangka Mula Operasi Di KL September Ini

Datuk Seri Azalina Othman Said
KUALA LUMPUR: Fasa pertama Mahkamah Khas Siber bagi membicarakan kesalahan jenayah di bawah undang-undang siber dijangka mula beroperasi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, September ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata fasa seterusnya melibatkan Selangor dan Johor kerana negeri-negeri berkenaan turut mencatatkan kes jenayah siber yang tinggi, sebelum disusuli negeri-negeri lain.

"Kerajaan berpendapat sudah tiba masanya Mahkamah Khas Siber itu diwujudkan susulan trend serangan siber yang membimbangkan seperti penggodaman, penipuan dalam talian, botnet, web-defacement, kecurian maklumat, pengintipan, judi siber, pornografi dan lain-lain," katanya dalam kenyataan, Rabu.

Beliau berkata pada masa yang sama kerajaan juga mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan termasuk pertubuhan bukan kerajaan.

Sehubungan itu katanya satu memorandum Jemaah Menteri mengenai penubuhan mahkamah itu akan dibentangkan dalam masa terdekat.

Beliau perkata cadangan penubuhan mahkamah berkenaan telah dimaklumkan kepada kabinet hari ini selain kepada Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria.

Azalina berkata penubuhan Mahkamah Khas Siber itu adalah sebagaimana penubuhan mahkamah khas lain seperti Mahkamah Khas Rasuah, Mahkamah Khas Koroner, Mahkamah Khas Antipencatutan dan Mahkamah Khas Alam Sekitar dan sebagainya.

"Hakim-hakim yang khusus akan mendengar kes-kes berkaitan undang-undang siber.

"Bagi memastikan Mahkamah Khas Siber itu dapat mencapai matlamat penubuhannya, hakim-hakim dan pihak-pihak yang terlibat akan diberikan latihan yang menyeluruh dan mencukupi bagi memastikan mahkamah ini dapat berfungsi dengan baik," katanya.

Artikel Lain