KULIM: Sebuah treler yang membawa muatan 40 tong asid sulfurik terbalik di Jalan Paya Besar, Taman Kuchai, dekat sini pagi Rabu setelah bertembung dengan sebuah Toyota Avanza, mengakibatkan jalan tersebut ditutup selama tiga jam. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kulim Hi-Tech Park (KHTP) Penguasa Bomba Mohd Azizi Abdullah berkata, kejadian berlaku kira-kira 10 pagi turut mengakibatkan lima lelaki iaitu pemandu dan tiga penumpang kereta Avanza serta pemandu treler berusia 40-an cedera ringan. Kesemua mangsa dirawat di Hospital Kulim. Treler terbabit sarat membawa asid sulfurik 98 peratus (UN 1830) dan pertembungan mengakibatkan 10 tong asid sulfurik bocor menyebabkan asid berkenaan melimpah di permukaan jalan. Pasukan Hazmat KHTP mengambil masa lebih dua jam membersihkan asid yang tumpah di lokasi kejadian, sebelum lalu lintas di situ pulih semula.