BUTTERWORTH: Seorang pemandu lori kontena maut akibat dihempap kontena muatan kayu yang dibawanya di Terminal Kontena Butterworth Utara di sini awal pagi Khamis. Ibrahim Omar, 40, maut di tempat duduk pemandu lori itu dalam kejadian kira-kira 3.32 pagi. Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Abdul Majid Othman berkata lori kontena yang membawa kayu seberat 32 tan itu dilapor terbalik ketika pemandunya cuba membuat pusingan U. Beliau berkata pihak bomba mengambil masa kira-kira dua jam untuk mengeluarkan mangsa dengan menggunakan kren. Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Azmi Adam berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat.