Pengarah Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazalie berkata sebagai pengendali lapangan terbang tersebut, pihaknya bekerjasama dengan pihak berkuasa Turki susulan daripada siri serangan pengganas di Eropah sejak tahun lepas.
Beliau berkata syarikat itu akan terus mengikuti pengumuman Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dari semasa ke semasa.
"Malah sebelum insiden ini berlaku, kami sentiasa berbincang dengan kerajaan Turki berhubung peningkatan tahap kesedaran keselamatan (di lapangan terbang berkenaan).
Erdogan telah mengisytiharkan perintah darurat selama tiga bulan berikutan kegagalan rampasan kuasa tentera pada 16 Julai lepas.
Pengeboman bunuh diri di Lapangan Terbang Antarabangsa Ataturk, lapangan terbang antarabangsa utama di Istanbul, pada 29 Jun mengakibatkan 41 orang maut, 239 cedera, manakala rampasan kuasa pula menyebabkan 265 individu maut dan 1,100 yang lain cedera.
Badlisham berkata operasinya di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen berjalan seperti biasa dengan trafik udara adalah normal.
Selain itu, Badlisham berkata MAHB juga berbincang dengan Kementerian Pengangkutan mengenai langkah meningkatkan lagi ciri keselamatan di lapangan terbang seluruh negara.
"Kami merancang untuk menugaskan lebih ramai polis bantuan. Pelbagai cadangan telah dikemukakan dan kami sedang memperincikan bagaimana keselamatan boleh ditingkatkan," katanya.
Berikutan serangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Ataturk, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini berkata, kerajaan sedang menimbangkan cadangan untuk membenarkan hanya penumpang udara berada di dalam terminal di semua lapangan terbang utama di Malaysia bagi meningkatkan tahap keselamatan.
Sementara itu penghantar penumpang perlu berada di luar terminal lapangan terbang atau dibenarkan berada di kawasan tertentu.