SUNGAI PETANI: Seorang pemilik premis urut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas tiga pertuduhan memperdagangkan tiga wanita warga Thailand, di sebuah hotel dekat sini, Jun lalu. Hum Kim Theng, 50, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim N.Priscilla Hemamalini selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa. Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memperdagangkan Orathai Ananchai, Bualaung Pongsrapang dan Waraphon Seemuang bagi maksud eksploitasi di Hotel Park Avenue, Tingkat 3, Jalan Indah 2, Taman Sejati Sungai Petani pukul 9.30 malam, 23 Jun lalu. Hum didakwa mengikut Seksyen 12, Akta Anti Pemerdagangan 2007 yang boleh membawa hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan denda. Timbalan Pendakwa Raya Tan Sew Ping mencadangkan ikat jamin tidak dibenarkan. Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Chong Seng Ming memohon agar tertuduh diberi ikat jamin pada kadar yang munasabah memandangkan tertuduh memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang proses pendakwaan berlaku. "Tertuduh juga perlu menyara ibu bapanya dan isteri serta dua anaknya yang masih bersekolah," katanya. Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dan menetapkan tarikh 18 Ogos sebagai tarikh penyerahan dokumen perbicaraan.