suria

Tun M Mahu Segera Tubuh Parti Politik Baharu

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sedang mempertimbangkan kaedah terbaik untuk menyegerakan proses penubuhan parti politik baharu.

Dr Mahathir berkata, langkah penyelesaian perlu kerana mendakwa ada kemungkinan Pendaftar Pertubuhan (RoS) akan menolak atau menangguhkan permohonan untuk mendaftarkan parti baharu tersebut.

"Kami dalam proses menubuhkan parti baharu. Kami sedar jika kita cuba untuk mendaftar sebuah parti baharu, ia tidak akan diluluskan atau akan memakan masa berbulan-bulan dan bertahun-tahun.

"Oleh itu, kami cuba mencari jalan penyelesaian kepada masalah itu. Namun kami akan menubuhkan parti ini dan akan membuat pengisytiharan rasmi mengenainya," katanya pada sidang di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, Khamis.

Menurut beliau, parti baharu itu akan bergabung dengan pakatan pembangkang untuk menentang Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang akan datang. 

"Parti itu akan menyertai gabungan parti-parti pembangkang yang menyatakan dengan jelas niat dan pendirian mereka  yang sama menuntut penyingkiran Perdana Menteri," katanya.

Baru-baru ini, Dr Mahathir mengumumkan satu pakatan parti pembangkang yang melibatkan sebuah parti baharu, PKR, DAP dan Amanah akan ditubuhkan untuk menentang BN pada PRU-14 yang akan datang.

"Saya akan menjadi yang pertama menyertai (parti baharu), tetapi tidak semestinya sebagai presiden. Parti politik baharu akan membentuk satu pakatan besar untuk lawan BN pada PRU-14.

“Pakatan baharu itu boleh disertai sesiapa sahaja termasuk parti pembangkang, NGO dan individu,” kata Dr Mahathir.

Artikel Lain