suria

60 Gajah Liar Dikesan Di Lebuh Raya Timur Barat

GERIK: Pengguna yang melalui Lebuh Raya Timur Barat, Gerik-Jeli ada ketikanya berhadapan situasi panik apabila terserempak dengan gajah liar yang berkeliaran dan tidak kurang juga yang melintas jalan.

Menurut Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak Noor Alif Wira Osman, gajah liar berkenaan mendiami Taman Negeri Royal Belum dan Hutan Simpan Temenggor di sini.

Noor Alif berkata, gajah liar di kawasan berberkenaan yang dianggar melebihi 60 ekor adalah bersamaan dengan kira-kira 70 peratus populasi mamalia tersebut di seluruh Perak.

"Terdapat lima kumpulan kecil gajah dikesan menjadikan beberapa kawasan di jalan sepanjang 80 kilometer itu sebagai tempat berkeliaran.

"Pada kebiasaannya, gajah liar akan berkeliaran pada awal pagi dan lewat malam selain turut (berkeliaran) bergantung pada faktor cuaca," katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Menurut Noor Alif, walaupun lintasan hidupan liar dikenali sebagai 'viaduct' telah diwujudkan di Kilometer 157, Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli, namun haiwan liar termasuk gajah tetap berkeliaran.

Katanya, lintasan sepanjang 200 meter yang dirasmikan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Shah tahun lalu itu merupakan antara usaha untuk mengurangkan risiko ancaman dan gangguan gajah liar kepada pengguna jalan raya sepanjang masa.

"Lintasan itu menghubungkan Taman Negeri Royal Belum dan Hutan Simpan Temenggor. Pembinaannya di kawasan ini adalah untuk memastikan hidupan liar serta pengguna jalan raya sentiasa dalam keadaan selamat setiap hari," katanya.

Noor Alif turut mengingatkan orang ramai terutama pemandu supaya tidak cemas jika terserempak dengan haiwan liar dan tidak membunyikan hon kereta, sebaliknya memberi laluan kepada haiwan berkenaan untuk melintas.

Selain itu, pengguna jalan raya diminta berhati-hati di kawasan yang mempunyai papan tanda lintasan hidupan liar, katanya.

"Pengguna jalan raya juga diingatkan supaya tidak keluar dari kenderaan, tidak menghampiri dan membaling objek kepada hidupan liar serta merendahkan lampu kenderaan ketika waktu malam," katanya.

Noor Alif berkata Taman Negeri Royal Belum meliputi kawasan seluas 117,500 hektar daripada keseluruhan keluasan 300,000 hektar Hutan Simpan Belum dan Hutan Simpan Temenggor.

"Taman Negeri Royal Belum merangkumi sebanyak 17.9 peratus daripada keseluruhan keluasan Perak dan ia merupakan taman ketiga terbesar selepas Taman Negara di Pahang dan Taman Banjaran Crocker di Sabah.

"Taman Negeri ini juga dikenal pasti sebagai antara habitat kepada spesies hidupan liar yang terancam seperti badak Sumatera, gajah, harimau, tapir, seladang dan spesies primat antaranya ungka tangan putih serta siamang," katanya.-- Bernama

Artikel Lain