suria

TPM Lancar Gerbang Internet Antarabangsa Malaysia Timur

Ahmad Zahid berucap pada majlis pelancaran Gerbang Internat Antarabangsa Malaysia Timur di Kampung Rampayan Laut kira-kira 18 kilometer dari sini Kota Belud, Sabah. -fotoBERNAMA

KOTA BELUD: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Sabtu melancarkan Gerbang Internet Antarabangsa Malaysia Timur (EM-IIG) di Kampung Rampayan Laut, di sini.

Projek dikendalikan oleh Syarikat Xiddig Cellular Communications Sdn Bhd (Xiddig) itu akan melalui empat fasa, yang mana, tiga fasa pembangunan dijangka siap dalam tempoh dua tahun dengan anggaran kos sejumlah RM850 juta dalam bentuk Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).

Fasa keempat EM-IIG itu pula akan menyaksikan Xiddig selaku pemaju, kerajaan negeri dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) melebarkan kawasan Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia ke Sabah yang berpusat di Kota Belud.

Berucap pada majlis pelancaran pecah tanah EM-IIG, Ahmad Zahid berkata projek yang bakal mewujudkan peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan dalam pelbagai bidang itu adalah penting bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi masa depan selain memastikan perniagaan domestik dan antarabangsa sedia ada kekal berdaya saing.

Beliau juga berharap usaha pembangunan EM-IIG itu akan diteruskan dengan menarik pelbagai pelaburan dari luar negara untuk menempatkan pangkalan penyelidikan dan pembangunan mereka di situ.

"Saya berharap projek ini dapat dilaksanakan sepenuhnya agar kemajuan serta pembangunan ini dapat dinikmati oleh rakyat secara keseluruhannya," katanya.

Ahmad Zahid berkata hasrat kerajaan untuk merapatkan jurang digital antara penduduk luar bandar dan bandar bukanlah sesuatu yang mustahil dan mampu dicapai menerusi projek seumpama itu yang dilihat berupaya menyediakan talian jalur lebar berkelajuan tinggi.

Katanya, usaha itu juga akan menyumbang kepada peningkatan sambungan Pusat Internet 1Malaysia bagi membolehkan penduduk luar bandar mengakses internet sekaligus menikmati kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Dengan ini, penduduk terutama mereka yang menceburkan diri dalam bidang keusahawanan akan mendapat manfaatnya memandangkan kemudahan ICT mampu menjadi platform melonjakkan potensi perniagaan menerusi kaedah pemasaran produk kepada golongan sasar secara digital, katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata penambahbaikan perkhidmatan jalur lebar dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diharap akan menjadi pelengkap kepada pembangunan penduduk selain peluang mengubah cara hidup rakyat di negeri ini.

Beliau juga berkata usaha membangunkan kawasan luar bandar menerusi penyediaan kemudahan prasarana asas termasuk pendidikan dan kesihatan masih diteruskan memandangkan terdapat banyak ruang dan potensi yang perlu diterokai demi pembangunan rakyat.

Sementara itu, mengulas mengenai EM-IIG, Pengerusi Eksekutif Xiddig Datuk Abdul Rashid Abdul Rahim berkata sasaran fasa pertama projek itu adalah untuk menyediakan kabel gentian optik dasar laut yang berkeupayaan 60 terabyte dari Tapak Pendaratan Pantai Rampayan Laut.

"Pelaksanaan ini dijangka akan menyediakan satu penyelesaian terbaik kepada semua pengguna internet berkelajuan tinggi di Sabah sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada gerbang internet dari Semenanjung," katanya.

Katanya, fasa kedua bakal menghubungkan kesemua syarikat telekomunikasi di Sabah seterusnya meningkatkan keupayaan telekomunikasi bandwith internet di seluruh negeri; sementara fasa ketiga disasarkan bagi membina pangkalan data bertaraf Tier-4 pertama di rantau ini di atas tapak seluas 9.3 hektar itu.

Pangkalan data itu dijangka menarik pelaburan dari negara-negara seperti Jepun, Taiwan, Filipina, Indonesia, Korea dan Hong Kong, katanya.

Fasa keempat pula, kerajaan negeri dan KKMM akan melebarkan kawasan MSC Malaysia ke Sabah yang dijangka mendorong kemunculan syarikat-syarikat baharu berteknologi serta bertaraf dunia, katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan yang juga Anggota Parlimen Kota Belud. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain