KOTA BELUD: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata komunikasi tanpa lisan kini menguasai lebih 90 peratus bentuk komunikasi dalam kalangan manusia. Beliau berkata ini menunjukkan betapa pentingnya pengaruh kebolehaksesan internet serta membawa pengaruh besar kepada tingkah laku manusia. Sehubungan itu, beliau mengingatkan masyarakat mengenai penguasaan komunikasi tanpa lisan dalam dunia komunikasi hari ini agar lebih berwaspada kerana ia mudah dijadikan sebagai wadah menabur fitnah dalam masyarakat. "Dalam kaedaan begini, ramai mencari kesalahan berbanding yang mencari kebenaran. Ramai orang mengutamakan kebatilan tetapi tidak melihat kepada kesahihan. Ertinya, apabila kebatilan mengatasi kesahihan, dunia akan berada di penghujung tanduk," katanya. Berdasarkan ajaran Islam, Allah tidak akan mengampunkan dosa seseorang yang membuat fitnah sehingga orang yang difitnah memberi kemaafan kepada orang yang membuat fitnah, katanya ketika berucap pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia di Kampung Rampayan Laut, dekat sini Sabtu. Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Madius Tangau antara kira-kira 30,000 pelbagai lapisan masyarakat yang hadir pada majlis itu. Dalam pada itu, timbalan perdana menteri berkata masyarakat Kota Belud bertuah kerana mempunyai pemimpin bertaraf nasional seperti Pandikar Amin, Salleh dan Abdul Rahman yang bukan sahaja berupaya membawa kemajuan kepada Sabah tetapi juga kepada negara keseluruhannya. Musa dalam ucapannya berkata kerajaan negeri akan terus memberi sokongan padu kepada sebarang langkah kerajaan persekutuan dalam usaha membanteras sebarang bentuk keganasan di Sabah. Beliau yakin melalui pelbagai langkah diambil kerajaan pusat di bawah konsep wasatiyyah atau sederhana serta sokongan padu daripada semua lapisan masyarakat, sebarang cabaran akan dapat diatasi manakala kestabilan dan kemakmuran mampu dikekalkan. "Kerajaan negeri dan rakyat Sabah akan sentiasa memberi sokongan padu yang tidak berbelah-bahagi kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dibantu oleh timbalan perdana menteri (Ahmad Zahid) dalam meneruskan agenda pembangunan dan program transformasi negara, khususnya untuk menjamin kesejahteraan rakyat di seluruh Sabah," katanya. Mengenai sambutan rumah terbuka Aidilfitri di Sabah, Musa berkata perayaan seperti itu merupakan wadah mengukuhkan hubungan silaturahim antara masyarakat pelbagai kaum dan kepercayaan di Sabah melalui aktiviti kunjung mengunjungi sesama keluarga dan sahabat handai. Katanya tradisi kunjung mengunjungi bukan sahaja berlaku pada musim perayaan Aidilfitri sahaja tetapi juga pada perayaan kaum lain seperti Krismas, Tahun Baharu Cina dan Pesta Kaamatan, sekaligus melambangkan sikap saling hormat menghormati yang tinggi dalam kalangan rakyat Sabah. - BERNAMA