BAGAN DATOH: Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pada Ahad bahawa Bagan Datoh dinaik taraf sebagai daerah penuh di Perak. Perdana Menteri berkata, keputusan itu dibuat hasil persetujuan bersama antara kerajaan negeri dengan Kabinet. "Ini amat bermakna bagi kita semua yang berkumpul malam ini," katanya semasa berucap pada Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2016 di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Hutan Melintang dekat sini, yang dihadiri kira-kira 50,000 orang. Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri Datin Seri Hamidah Khamis, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz. Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri Datin Seri Saripah Zulkifli juga menghadiri majlis itu. Bagan Datoh diwartakan sebagai daerah ke-12 di Perak pada 15 Jun lepas dan sebelum ini ia terletak di bawah pentadbiran Daerah Hilir Perak. Najib juga mengumumkan pembinaan sebuah jambatan bagi menghubungkan Bagan Datoh dengan Pasir Salak yang melibatkan peruntukan sebanyak RM350 juta, selain peruntukan RM150 juta bagi membina Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Bagan Datoh. "Saya juga umumkan RM90 juta bagi pembinaaan jalan dua hala menghubungkan Hutan Melintang dengan Bagan Datoh selain RM220 juta untuk pembinaan sebuah politeknik. "Semua ini akan dilaksanakan selanjutnya. Alhamdulillah banyak rahmat orang Bagan Datoh dapat lagi-lagi bila Ahmad Zahid jadi Timbalan Perdana Menteri," katanya sambil disahut tepukan gemuruh hadirin.