suria

Ibu Kehilangan Anak Kedua Akibat Difteria

SUNGAI PETANI: Seorang ibu kehilangan anak kedua akibat difteria, apabila seorang lagi anaknya meninggal dunia awal pagi Sabtu.

Muhammad Rusydi Rizky Amdin, 11 bulan, anak kepada Zalifah Hussin, 40, meninggal dunia di Flat Paya Nahu di sini kira-kira 2 pagi.

Bayi itu sebelum ini dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim di sini selama  seminggu dan dibenarkan keluar Khamis lalu.

Dia sebelum itu dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar.

"Dia sebelum ini kelihatan sihat dan ceria, walaupun berat badannya agak menyusut. Kira-kira pukul 2 pagi tadi, saya kejutkan dia untuk diberi susu, namun dia tidak memberi tindak balas.

"Lalu saya minta anak sulung saya tolong bawa adiknya ke hospital di mana doktor sahkan anak saya sudah meninggal dunia," kata Zalifah.

Beliau berkata seorang lagi anaknya yang berumur tiga tahun turut mengadu tidak sihat.

Anak Zalifah yang berumur dua tahun Muhammad Haris Haikal meninggal dunia pada 21 Jun lalu juga akibat difteria.-- Bernama



Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain