JOHOR BARU: Kerajaan tidak bercadang untuk membatalkan pelaksanaan Permit Masuk Kenderaan (VEP) dan akan dilaksanakan sebaik sahaja sistem itu sedia untuk beroperasi. Menyangkal laporan berita sebelum ini, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata tiada kelewatan dalam pelaksanaannya. "Jangan dengar khabar angin. Kerajaan akan laksanakan (VEP). Bukan sahaja di Singapura (sempadan kedua-dua negara) tetapi juga di Thailand, Kalimantan dan Brunei. Kerajaan tidak bersikap diskriminasi, di semua sempadan akan ada VEP. "Kerajaan akan mulakan dengan Singapura (kenderaan berdaftar) terlebih dahulu dan kemudiannya ke negara lain," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian ibu pejabat baharu Lembaga Pelabuhan Johor di Pasir Gudang, di sini pada Ahad. Liow mengulas sama ada VEP mungkin dibatalkan selepas proses pelaksanaannya berdepan "masalah" dan telah terlepas beberapa 'tarikh' yang dikatakan sebagai tarikh bagi pelaksanaannya. "Akan mengambil masa untuk melaksanakannya kerana kami mahu memastikan tiada sebarang masalah timbul apabila kami memulakannya. Jika sekarang, ujian dijalankan selama 12 jam, kami mahu mengujinya selama 24 jam untuk sekurang-kurangnya satu atau dua bulan lagi," katanya. VEP yang mula dicadangkan pada 2006, sepatutnya bermula pada 16 Julai dengan mengenakan bayaran RM20 bagi kenderaan asing memasuki Johor, tetapi telah ditangguhkan untuk kali keempat. Mengenai sama ada pemasangan kamera dalam kereta akan diwajibkan sebagai cara untuk mengenal pasti punca kemalangan, Liow berkata setakat ini langkah itu masih secara sukarela.