PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan mengesahkan keputusan dua swab tekak yang dijalankan ke atas bayi yang meninggal dunia pada Ahad menunjukkan dia bebas jangkitan difteria selepas menerima rawatan antibiotik. Atas sebab itu, kementerian tersebut berkata bedah siasat telah dijalankan terhadap bayi berusia 11 bulan berkenaan untuk mengetahui punca sebenar kematiannya. "Bedah siasat telah dijalankan dan penyebab kematian ini akan dimaklumkan setelah menerima laporan rasmi," kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. Pada Ahad, Muhammad Rusydi Rizky Amdin meninggal dunia selepas dirawat selama seminggu. Sementara itu, abangnya, Muhammad Haris Haikal, 2, meninggal dunia pada 21 Jun lalu juga akibat difteria. Dr Hisham berkata memandangkan kes itu masih disiasat bilangan kes disahkan difteria masih kekal 24 kes termasuk lima kematian. Katanya, kanak-kanak yang meninggal pada Ahad itu pernah dirawat sebagai kes difteria pada 21 Jun lalu. Malah mangsa turut menerima rawatan antitoksin dan antibiotik yang lengkap. "Keputusan dua swab tekak dua minggu selepas selesai rawatan antibiotik adalah negatif terhadap bakteria Corynebacterium diphtheriae," katanya. Kanak-kanak itu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sehingga dibenarkan keluar hospital pada 20 Julai lalu dengan bekalan antibiotik untuk tempoh seminggu. Pada awal pagi Ahad, ibu kanak-kanak itu mendapati anaknya tiada reaksi balas dan kebiruan lalu dikejarkan ke jabatan kecemasan tetapi gagal diselamatkan serta disahkan meninggal dunia. Pihak kementerian telah mengadakan lawatan ke rumah keluarga itu dan bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi memberikan khidmat kaunseling dan sokongan yang sewajarnya.