KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada Isnin mendapati 13 daripada 14 tertuduh, yang telah memberi keterangan membela diri masing-masing dalam kes pencerobohan Lahad Datu, bersalah. Sembilan daripada mereka termasuk Datu Amir Bahar Hushin Kiram, 53, anak kepada lelaki yang mendakwa dirinya Sultan Esmail Kiram, didapati bersalah melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan denda. Lapan yang lain ialah warganegara Filipina Atik Hussin Abu Bakar, 45, Basad H. Manuel, 41, Ismail Yasin, 76, Virgilio Nemar Patulada alias Mohammad Alam Patulada, 52, Salib Akhmad Emali, 63, Al Wazir Osman, 61, Tani Lahaddahi, 63, dan Julham Rashid, 69. Hakim Stephen Chung dijangka menjatuhkan hukuman terhadap kesemua 13 tertuduh itu selepas mereka membuat rayuan terhadap hukuman masing-masing Selasa. Beliau juga akan menjatuhkan hukuman terhadap beberapa individu yang telah mengaku bersalah pada Februari tahun ini. Datu Amir Bahar, Salib Akhmad, Al Wazir, Tani dan Julham juga disabitkan bagi kesalahan kedua dengan menjadi anggota sebuah kumpulan pengganas, yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan denda. Turut bersalah kerana menjadi anggota kumpulan pengganas ialah rakyat tempatan Abd Hadi Mawan, 52, serta warganegara Filipina Timhar Hadil, 39 dan bapanya, Hadil Suhaili, 68, yang meninggal dunia pada 24 April 24 semasa dalam tahanan. Satu-satunya tertuduh wanita dalam kes itu, Norhaida Ibnahi dari Filipina, didapati bersalah memberi sokongan kepada seorang yang diketahuinya anggota kumpulan pengganas, yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan denda, atau 20 tahun penjara dengan denda atau kedua-duanya. Dalam penghakimannya, Hakim Chung berkata pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan terhadap 13 tertuduh itu. Walaupun Datu Amir Bahar mendakwa berlakunya salah faham di antara bapanya dan bapa saudaranya Datu Agbimuddin Kiram, yang mengetuai pencerobohan di Kampung Tanduo, Chung berkata ada bukti menunjukkan Datu Amir Bahar sentiasa berkomunikasi dengan bapa saudaranya. "Berdasarkan pintasan komunikasi, beliau didapati berhubung (dengan bapa saudaranya) semasa pertempuran itu di Kampung Simunul (Semporna). "Ada (juga) keterangan yang meyakinkan tentang penglibatannya sebagai 'Ketua Staf' daripada 'Pasukan Keselamatan Diraja'," katanya. Chung berkata pintasan komunikasi yang dilakukan polis terhadap Salib Akhmad dan Al Wazir juga menunjukkan bukti bahawa mereka berkomunikasi dengan pemimpin pencerobohan itu. Hakim itu berkata saksi pendakwaan, yang telah diberi perlindungan, telah mengenal pasti Tani, Julham dan Abd Hadi sebagai anggota 'Pasukan Tentera Diraja Sulu', dan keterangannya tidak dicabar pihak pembelaan. Mengenai Atik Hussin, Basad, Ismail dan Virgilio, Chung berkata beliau mendapati pengakuan bahawa mereka telah ditipu untuk datang bekerja di Sabah, sebagai meragukan. Selepas berakhirnya kes pendakwaan, hakim berkata mereka mengambil keputusan untuk mengaku bersalah bagi pertuduhan kedua iaitu menjadi anggota kumpulan pengganas, yang bercanggah dengan pengakuan mereka. "Kalau mereka rasa ditipu (dalam perjanjian pekerjaan di Sabah), mereka mempunyai masa yang mencukupi untuk melarikan diri (dari Kampung Tanduo). Tetapi mereka hanya melarikan diri selepas pertempuran itu," katanya. Sementara itu, Chung mempersoalkan kehadiran Hadil dan Timhar di Lahad Datu semasa pencerobohan berlaku dan mempunyai dokumen yang mempunyai kaitan dengan 'Kesultanan Sulu'. Beliau berkata tidak ada bukti bahawa 'anak' yang Hadil lawati, yang merupakan sebab kehadirannya di Lahad Datu, adalah anaknya yang sebenar kerana dia tidak mempunyai nama akhir serupa seperti Timhar. Hakim itu berkata Abd Hadi juga telah dikenal pasti sebagai anggota 'Pasukan Tentera Diraja Sulu' oleh saksi pendakwaan, yang keterangannya tidak dicabar oleh pihak pembelaan manakala Norhaida, yang mendakwa tidak menggunakan telefon bimbit, telah dikesan oleh pegawai Cawangan Khas menerusi isyarat telefon bimbitnya. Chung juga mendapati rakyat Filipina, Basil Samiul, 35, tidak bersalah atas sebarang kesalahan selepas Basil memberi keterangan terhadap pertuduhannya bekerjasama atau memberi sokongan kepada kumpulan pengganas, satu kesalahan yang membawa hukuman 30 tahun penjara atau denda atau kedua-duanya. Hakim itu membuat kesimpulan bahawa tidak ada bukti dia berada di Kampung Tanduo semasa pencerobohan itu, walaupun berkongsi nama pertama yang sama seperti penceroboh di kampung berkenaan. "Tiadanya bukti yang cukup terhadap tertuduh ke-24 (Basil) dalam pintasan komunikasi itu dan dia tidak pernah dikenal pasti sebagai Basil Bin Samiul. "Adalah jelas bahawa 'Al Basil', yang boleh berlari semasa dikejar oleh seorang yang bersenjatakan pistol, bukanlah tertuduh ke-24 yang tempang sepanjang perbicaraan ini," katanya. Sehubungan itu, Chung melepas dan membebaskan Basil dan memerintahkan beliau dirujuk kepada Jabatan Imigresen. Pendakwaan memulakan kesnya pada 6 Jan 2014 terhadap 30 individu - 27 rakyat Filipina dan tiga lelaki tempatan - yang dituduh dengan pelbagai kesalahan yang dikaitkan dengan pencerobohan bersenjata di Kampung Tanduo. Pihak pendakwaan telah memanggil 166 saksi sepanjang prosiding selama 239 hari itu yang berakhir pada 5 Jan lepas. Pada 5 Feb, Chung mengarahkan 19 daripada 30 tertuduh untuk membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie. Bagaimanapun, pada 23 dan 24 Feb, sembilan daripada 19 tertuduh termasuk dua penduduk tempatan, memilih untuk mengaku bersalah, tetapi hakim itu menangguhkan hukuman selepas pihak pembelaan menamatkan kesnya. Empat daripada sembilan tertuduh itu masing-masing didakwa dengan dua pertuduhan - melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dan menjadi anggota kumpulan pengganas - tetapi hanya mengaku bersalah menjadi anggota kumpulan pengganas. Pihak pembelaan menjalankan prosidingnya selama 24 hari mulai 25 Feb hingga 17 Mei dengan memanggil 20 saksi.