SANDAKAN: Sebuah ambulans membawa seorang pesakit berlanggar dengan sebuah trak tentera di Batu 18 Jalan Labuk dekat sini, Selasa. Dalam kejadian pada 3.12 petang itu, pesakit wanita berusia 30 tahun serta pemandu dan jururawat, yang berada dalam ambulans itu tidak mengalami kecederaan. Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Zabidi Mohd Zain berkata ketika kejadian, ambulans itu dari Hospital Kinabatangan membawa pesakit yang hendak menjalani pembedahan mata di Hospital Duchess of Kent Sandakan. Katanya sebuah trak tentera dari arah Sandakan menuju ke Tawau memasuki laluan bertentangan selepas membrek secara tiba-tiba bagi mengelak daripada melanggar sebuah kereta di hadapan yang membrek secara mengejut. Pemandu trak tentera itu juga tidak mengalami kecederaan, katanya dalam kenyataan di sini Rabu. Zabidi berkata kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA