suria

Dua Doktor Didenda RM10,000 Buat Perakuan Palsu Dalam Dokumen JPJ

IPOH: Dua doktor masing-masing didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini Rabu selepas menukar pengakuan bersalah atas pertuduhan membuat perakuan palsu dalam borang permohonan lesen vokasional Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) L8, tiga tahun lalu.

Hakim S.Indra Nehru turut memerintahkan tertuduh, Dr Phuah Chye Thuang, 62, dan Dr Fong Hon Pin@Poon Hon Pin, 68, dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.

Kedua-dua mereka sebelum ini mengaku tidak bersalah selepas didakwa pada 5 Jan lalu atas pertuduhan membuat perakuan memeriksa seorang individu bagi memperbaharui lesen memandu Kelas D untuk memandu kenderaan perkhidmatan awam, sedangkan tiada pemeriksaan kesihatan dibuat.

Dr Phua didakwa membuat perakuan palsu dalam borang permohonan atas penama Mohd Firdaues Azizan, 33, di Klinik Phuah Jalan Takong Datoh, Gerik manakala Dr Fong melakukan perbuatan sama atas penama S. Suppiah Thevar, 36, di Klinik Simee, Kampung Simee di sini.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada 7 Mac 2013 dan didakwa mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peguam N.Sakhtivel mewakili Dr Phuah manakala Dr Fong diwakili peguam Meor Shahzizi Meor Shaari.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Nurul Wahidah Jalalluddin. - BERNAMA

doktor, perakuan palsu

Artikel Lain