suria

70,000 Dijangka Meriahkan Rumah Terbuka PM Najib Di Pekan

Timbalan Ketua Umno Bahagian Pekan Datuk Abu Bakar Harun (kanan) berbincang sesuatu dengan petugas-petugas semasa meninjau persiapan majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dataran Taman Tasik Sultan Abu Bakar, Khamis. Majlis yang akan berlangsung pada Sabtu ini, dijangka menerima kunjungan kira-kira 70,000 orang daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk dari luar Parlimen Pekan.

PEKAN:Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini pada Sabtu ini, dijangka menerima kunjungan kira-kira 70,000 orang daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk dari luar Pekan.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Pekan, Datuk Abu Bakar Harun berkata, penganjuran rumah terbuka itu akan diadakan di Dataran Taman Tasik Sultan Abu Bakar di sini, bermula dari 10.30 pagi hingga 2.30 petang.

Katanya kira-kira 165 gerai akan menghidangkan pelbagai juadah termasuk nasi arab, kambing bakar dan sate selain juadah wajib Hari Raya seperti lemang, ketupat dan rendang.

"Majlis ini diharap dapat merapatkan silaturahim pemimpin bersama masyarakat selain menyemarakkan semangat Aidilfitri," katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan majlis itu di sini, Khamis. 

Menurutnya Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah dan isteri Sultanah Kalsom serta Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dijadual berangkat menghadiri majlis itu.  

Abu Bakar berkata majlis itu juga akan dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan dan nyanyian termasuk oleh Ameng Spring dan Azlan Typewriter, dengan majlis dikendalikan pengacara Sharifah Shahirah.

Bagi merancakkan penganjuran majlis, pesta lemang akan diadakan pada Jumaat malam yang melibatkan pelbagai jabatan kerajaan, badan bukan kerajaan serta cawangan Umno Bahagian Pekan.

"Sebanyak 3,000 lemang dan 5,000 ketupat akan disediakan untuk majlis itu dengan konsep gotong-royong untuk meningkatkan semangat perpaduan masyarakat Parlimen Pekan" katanya. -- Bernama

Artikel Lain