KAJANG: 'Laju' mungkin menjadi punca kemalangan bas di Genting Highlands pada Rabu yang menyebabkan pemandunya maut dan 15 yang lain cedera, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai. "Kami telah menetapkan had kelajuan 30km/jam tetapi kadang-kadang kerana jalan yang begitu luas, pemandu fikir selamat untuk mereka mempercepatkan perjalanan. "Ini adalah salah satu keadaan yang mungkin telah menyebabkan kemalangan, terutamanya di kawasan lereng bukit. Oleh itu, kita akan mengkajinya dengan serius," katanya. Tiong Lai berkata demikian ketika mengulangi seruannya terhadap syarikat-syarikat bas ekspres untuk mula memasang alat pengehad kelajuan dalam bas mereka, sambil menambah syarikat mempunyai masa setahun untuk mematuhinya atau berdepan penggantungan. Beliau berkata Kementerian Pengangkutan telah memberikan 'tempoh penangguhan selama setahun' kepada pengusaha bas ekspres untuk mula memasang pengehad kelajuan dalam semua bas, tetapi pihak berkuasa mahu alat tersebut dipasang secepat mungkin. "Jika mereka tidak melakukannya, kita boleh mengambil tindakan serius. Kita boleh menggantung lesen mereka. Mereka mempertaruhkan nyawa orang ramai," katanya. Sebuah bas persiaran yang membawa 27 penumpang disahkan terbalik di KM17.2 semasa turun dari Genting Highlands, kira-kira pukul 7 malam Rabu. Ketua Polis Daerah Bentong Supt Mohamad Mansor Mohd Nor berkata kejadian itu menyebabkan 15 penumpang cedera, manakala pemandu bas yang tersepit di dalam bas berkenaan maut. Pemandu bas dikenal pasti sebagai Tan Ching Kok, 50. Pada 2013, di jalan yang sama, berlaku kemalangan paling dahsyat di Malaysia yang menyebabkan 37 orang telah terbunuh.