suria

Monspace Sky Airline Ada Kaitan Dengan 'Bakal Orang Terkaya Di Dunia'

Pengasas Monspace Group Datuk Seri Jessy Lai mempromosikan Monspace Sands Island menerusi video yang dimuatnaik di laman web video Cina Youku.com
PETALING JAYA: Lebih banyak petunjuk muncul mengaitkan Monspace Sky Airline dengan Zhang Jian dari China yang mendakwa dirinya sebagai 'bakal orang terkaya di dunia'.

Satu risalah yang berlegar di aplikasi WeChat telah mempromosikan perjalanan syarikat penerbangan itu ke Langkawi dengan jelas menunjukkan Zhang sedang tersenyum sambil menunjukkan isyarat 'bagus' dengan dua ibu jarinya.

Sebuah pesawat dengan logo Monspace Sky Airline dan gambar bayang-bayang Zhang di tengah iklan juga telah dibuat dengan tujuan menarik pelancong dari China.

Syarikat induk kepada syarikat penerbangan itu, Monspace Group yang dikenali di kalangan orang-orang Cina sebagai Yun Xun Tong, dikatakan telah mengiklankannya dalam sebuah laman web China, Zhong Zhi Wang.

Pelabur yang memasukkan 7,000 yuan (RM4,283) untuk membeli mata saham syarikat itu secara automatik akan menjadi 'ahli keluarga Yun Shu' dan menikmati enam hari perjalanan ke Langkawi yang telah dibayar.

Dalam iklan tersebut, Langkawi telah dirujuk sebagai pulau Yun Xun Tong, membayangkan bahawa pulau itu adalah milik syarikat terbabit.

Dalam sebuah lagi video lain yang dimuat naik di laman web video Cina Youku.com, pengasas Monspace Group Datuk Seri Jessy Lai mendakwa Yun Xun Tong telah memperoleh sebuah pulau yang terletak kira-kira 15 minit perjalanan dengan bot dari Langkawi.

Ia telah ditukar kepada nama Monspace Sands Island.

Video 38 minit itu menunjukkan Lai mempromosikan pembangunan di pulau ini, termasuklah sebuah hotel empat bintang.

Bercakap dalam bahasa Mandarin, beliau menggesa penonton untuk menyertai 'ahli keluarga Yun Shu' dan mendakwa mereka bakal mendapat manfaat termasuk bayaran bonus tiga tahun serta perjalanan enam hari ke Langkawi.

Penerbangan akan diuruskan untuk 'ahli keluarga' dari pelbagai bandar di China, termasuk Chongqing, Hangzhou, Chengdu dan Xi'an ke Langkawi, katanya.

Video ini telah ditonton lebih 21,000 kali.

Laman web Monspace Group menyatakan bahawa ia telah terlibat dalam enam perniagaan teras termasuk hartanah, telekomunikasi, e-dagang, hiburan, kewangan serta makanan dan minuman.

Bagaimanapun laman web Monspace Sky Airline, www.monskyways.com telah ditutup.

Laman web itu memaparkan pengiraan masa dan mesej bahawa ia sedang berada di bawah penyelenggaraan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain