Hakim Ibrahim Osman membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh pada akhir pendakwaan.
Ibrahim dalam penghakimannya berkata perkataan yang disebut oleh Rayer dalam persidangan Dun iaitu 'Umno celaka' tidak termasuk sebagai satu kecenderungan menghasut.
"Mahkamah mendapati bahawa ucapan tertuduh tidak merujuk mana-mana kaum atau segolongan orang malah secara jelas hanya merujuk kepada individu-individu secara spesifik iaitu Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Datuk Shabudin Yahaya.
"Mahkamah berpandangan bahawa kenyataan terhadap sesuatu kaum mestilah jelas ataupun tersurat bukannya secara tersirat. Jika mahkamah ini menerima sesebuah parti politik sebagai khusus untuk kaum yang tertentu sahaja, perkara sedemikian sudah tentu akan memberi kesan negatif dan boleh membawa implikasi yang tidak sihat," katanya.
Pada 27 Ogos 2014, Rayer mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebut kata-kata menghasut itu ketika sesi perbahasan di dalam DUN Pulau Pinang, pada pukul 9.30 pagi, 20 Mei 2014.
Wakil rakyat itu menghadapi pertuduhan berkenaan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Saw Sim dan Farah Aimy Zainul Anwar manakala Rayer diwakili oleh barisan peguam diketuai Gobind Singh Deo.