SETIU: Kegembiraan tujuh sekeluarga berkelah di kawasan air terjun Lata Cakah di sini berakhir dengan tragedi selepas tiga daripada mereka meninggal dunia kerana lemas. Ketua Polis Daerah Setiu DSP Elias Abu Bakar berkata seorang daripada merekaAsiah Zakirah Abd Rahman, 23, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dua lagi meninggal ketika menerima rawatan di Hospital Setiu. Katanya dalam kejadian kira-kira 12.15 tengah hari itu, ketika sedang leka mandi-mandi, bapa saudara mereka mendengar suara meminta tolong dan sebaik tiba di tempat kejadian, ketiga-tiga mereka telah tenggelam manakala seorang lagi berjaya diselamatkan oleh orang ramai. "Dengan bantuan orang ramai tiga mangsa telah dijumpai, seorang meninggal dunia di tempat kejadian dan dua lagi dikejarkan ke Hospital Setiu untuk rawatan lanjut," katanya kepada Bernama. Katanya kira-kira pukul 2.41 petang, Fatin Atirah Ahmad Sabri, 20, menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan dan kira-kira dua jam selepas itu seorang lagi mangsa yang merupakan pelajar perubatan di Mesir Asma Saari, 21, meninggal dunia. Sementara mangsa yang diselamatkan, Maisarah Saari, 19, dilaporkan stabil namun masih menerima rawatan, katanya dan menurutnya kesemua mereka berasal dari Kelantan. -Bernama