KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili telah diamanahkan oleh majlis tertinggi parti untuk menjalankan tugas presiden parti berkuatkuasa serta-merta. Setiausaha Agung PBS Datuk Johnny Mositun dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata keputusan itu dibuat atas permintaan presiden parti Tan Sri Joseph Pairin Kitingan ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi parti di sini. Bagaimanapun, Mositun berkata Pairin akan kekal sebagai Presiden PBS sehingga tempoh penggal parlimen dan dewan undangan negeri sekarang berakhir. "Beliau akan terus menjalankan tugasnya (sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah) dan tugasan berkaitan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain sehingga tempoh penggal berakhir," kata Mositun. Beliau berkata, Ongkili, yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, akan menyelia semua perkara parti termasuk hal ehwal dan pengurusan bahagian, cawangan dan ibu pejabat parti. "Ini adalah sebahagian daripada langkah persediaan dalam rancangan penggantian kepimpinan parti. "Dalam ucapannya, presiden Parti (Pairin) menggesa pemimpin parti di semua peringkat untuk bekerjasama, terus bersatu dan berusaha keras untuk mengukuhkan parti dan memastikan kemenangan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum akan datang," katanya. -Bernama