suria

Najib, Rosmah Meriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri Wanita Umno

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (lima, kiri) bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor (lima, kanan) bergambar kenangan bersama kepimpinan tertinggi Wanita Umno pada majlis sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Wanita UMNO Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (empat, kiri), Ketua Pergerakan Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil (empat, kanan).

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memeriahkan majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Wanita Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini.

Ketibaan Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor di perkarangan Dewan Merdeka pada kira-kira 11.30 pagi disambut Ketua Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, yang sejurus itu merakam foto bersama barisan kepimpinan sayap parti.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Naib Presiden Umno yang juga Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Onn, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan Setiausaha Agong Umno yang juga Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Ketua Pemuda Umno yang juga Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, Ketua Puteri yang juga Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Mas Ermieyati Samsudin, menteri-menteri besar termasuk Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan ahli-ahli majlis tertinggi Umno turut memeriahkan majlis itu.

Kehadiran Najib disambut meriah oleh ribuan hadirin yang teruja merakamkan 'selfie' dengan Presiden Umno itu.

Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan sumbangan Tabung Pejuang Nadi Rakyat kepada 15 veteran Wanita Umno dan Barisan Nasional (BN).

Tabung pergerakan sayap Wanita itu, yang dilancarkan semasa perhimpunan sayap parti pada 9 Disember tahun lepas, bertujuan menghargai jasa dan pengorbanan veteran Wanita Umno.

Najib dan isteri meluangkan masa lebih sejam jam pada majlis itu yang menyediakan 12 gerai juadah seperti nasi beriani, roti canai dan sate selain dihiburkan dengan pelbagai persembahan dan nyanyian.

Sementara itu, Shahrizat ketika ditemui pemberita berkata setiap penerima sumbangan tabung itu diberi RM2,000.

"Sumbangan diberi kepada pejuang Wanita dari kalangan Umno dan BN, yang memerlukan selain sebagai tanda terima kasih kerana jasa mereka kepada parti," katanya.-- Bernama

Artikel Lain