KUALA TERENGGANU: Seorang pekerja pembersihan warga Bangladesh mendakwa menjumpai objek menyerupai bayi di dalam sebuah beg plastik yang dibuang ke dalam longkang besar berhampiran Perpustakaan Awam Negeri di sini, Ahad. Mohd Kobi Mohd Osman, 19, berkata dia mengesan objek itu ketika menjalankan kerja-kerja pembersihan di kawasan perangkap sampah kira-kira pukul 5 petang. "Saya sangat terkejut dan menarik plastik berwarna merah putih yang koyak itu dan nampak bahagian kepala bayi di dalamnya," katanya ketika ditemui di tempat kejadian. Panik dan terkejut dengan apa yang dilihatnya, dia melepaskan kembali bungkusan ke dalam longkang lantas menghubungi rakannya yang bekerja tidak jauh dari kawasan itu sebelum penyelia menghubungi polis. Mohd Kobi berkata bau bungkusan berkenaan amat busuk dan dia beberapa kali termuntah sehingga pengsan. Sementara itu Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Azila Wahab berkata sejurus menerima panggilan, sejumlah 13 pegawai dan anggota digegaskan ke lokasi kejadian. Katanya pencarian yang dimulakan kira-kira pukul 6.30 petang diperluaskan sehingga jarak satu kilometer dari lokasi yang dilaporkan. "Selain pencarian di permukaan longkang kita juga mencari di kawasan perangkap, turun ke dalam longkang sampah tersebut namun tiada sebarang petunjuk berhubung objek itu dijumpai," katanya. Beliau berkata operasi mencari dan mengesan dihentikan kira-kira pukul 10 malam sebelum disambung kembali kira-kira pukul 7 pagi ini.