KUALA TERENGGANU: Polis mengesahkan tiada sebarang objek seperti bayi dikesan di sepanjang longkang besar berhampiran kawasan Perpustakaan Awam Negeri walaupun pencarian diperluaskan sehingga ke muara sungai Terengganu sejak operasi pencarian disambung semula pagi Isnin. Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Supt Suffian Sulaiman berkata operasi pencarian yang dilakukan pihak polis dan Bomba itu dihentikan kira-kira pukul 3.30 petang Isnin. "Operasi pencarian itu disambung semula kira-kira pukul 7 pagi Isnin namun sehingga petang tiada sebarang petunjuk dan objek seperti yang didakwa itu dijumpai. "Pelbagai usaha kita telah laksanakan dan sehingga ke kawasan muara sungai dilakukan namun tidak menemui apa-apa sebelum menghentikan operasi," katanya ketika dihubungi di sini Isnin. Pada Ahad seorang pekerja pembersihan warga Bangladesh mendakwa menjumpai objek seperti bayi di dalam plastik ketika melakukan pembersihan di kawasan itu. Terkejut melihat kepala bayi itu pekerja yang berusia 19 tahun berkenaan melepaskan kembali plastik yang mengandungi objek tersebut. Sementara itu Suffian berkata agak sukar untuk mengesahkan laporan yang diterima itu berikutan hanya pekerja itu seorang sahaja yang melihat objek tersebut. Jelasnya pihaknya telah mengambil keterangan pekerja terbabit untuk siasatan lanjut. "Kita tidak tahu sejauh mana kebenaran kes berkenaan dan susah untuk kita buktikan kerana hanya pekerja itu yang melihat dan kita tidak mempuyai saksi lain," katanya. - BERNAMA