PADANG BESAR: Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Perlis mahu kerajaan negeri mewartakan bangunan jam di kompleks Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri lama di sini sebagai bangunan warisan. Pengerusinya, Datuk Yazid Mat berkata walaupun bangunan itu masih digunakan sebagai pejabat kerajaan, pewartaan perlu supaya sebarang pengubahsuaian yang melenyapkan bentuk asalnya tidak boleh dibuat. Bangunan itu adalah lambang kegigihan seni pertukangan zaman dahulu, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa persatuan itu di Chuping dekat sini, Isnin. Yazid berkata satu daripada empat tingkat bangunan itu dibina menggunakan batu pejal tanpa simen yang digantikan dengan putih telur dan madu sebagai bahan pelekat batu. Bangunan yang dibina pada akhir tahun 1930-an itu pernah menempatkan pejabat penasihat British, pejabat menteri besar, setiausaha kerajaan negeri, speaker dewan undangan negeri, pejabat tanah dan galian negeri dan pejabat kemajuan negeri. Ia kini menempatkan pejabat pegawai kewangan negeri dan pejabat penasihat undang-undang negeri. Yazid berkata di bahagian atas di tengah bangunan tersebut terdapat menara jam yang locengnya berbunyi setiap satu jam dan boleh didengar dari jarak kira-kira tiga kilometer. "Saya tidak berpuas hati apabila atap bumbung bangunan tersebut ditukar dengan atap agak moden yang lari daripada bentuk atap asal," katanya.