suria

Pakatan Harapan Sebagai Asas 'Gabungan Besar' - Azmin

Azmin Ali.

SHAH ALAM: Parti-parti pembangkang seharusnya bersama-sama Pakatan Harapan bagi membentuk satu 'pakatan besar' yang menggabungkan gerakan mereka menentang Barisan Nasional (BN) dan Umno, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali.

Beliau berkata, ia termasuk menerima mana-mana parti politik baharu yang diketuai bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed dan bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

""Kami sentiasa inklusif, dengan syarat bahawa individu dan parti komited untuk agenda reformasi," kata Azmin pada Selasa.

Spekulasi bertiup kencang mengenai Dr Mahathir dan beberapa yang lain dalam proses mendaftarkan sebuah parti politik baharu yang dikenali sebagai Barisan Rakyat.

Menurut Azmin yang juga timbalan presiden PKR, jika parti baharu menggariskan objektif yang jelas mengenai pembentukannya dan mempunyai dasar yang sama dengan parti-parti Pakatan, ia akan mudah dialu-alukan.

"Kita perlu mengembangkan asas kita dan menjadi lebih inklusif untuk persediaan menghadapi PRU-14," kata Azmin sambil menambah objektif 'gabungan besar' adalah untuk mengenal pasti matlamat yang sama.

Beliau juga berkata, pihak dalam penyatuan itu perlu realistik, menerima perbezaan dan cuba untuk memahami antara satu sama lain.

"Kita perlu merendah diri menerima perbezaan dalam gabungan itu tetapi kita perlu menghormati antara satu sama lain dan berpegang kepada dasar bersama dan agenda bersama.

"Jika kita selari, kita akan dapat membentuk satu gabungan besar yang mengagumkan dan bersatu untuk berdepan dengan BN," kata Azmin.

Artikel Berikut

Artikel Lain