suria

Polis Hentikan Siasatan Dakwaan Konspirasi Gulingkan PM - KPN

Khalid Abu Bakar.

SHAH ALAM: Polis telah menghentikan siasatan berhubung laporan polis dibuat Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun yang mendakwa ada konspirasi menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan Malaysia.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, keputusan menghentikan siasatan diambil selepas didapati Khairul Azwan membuat laporan hanya berdasarkan kepada andaian dan dengar cakap (hearsay).

"Polis sudah rakam percakapan Khairul Azwan dan kami dapati dia buat laporan berdasarkan andaian...dia tidak dapat kemukakan bukti seperti yang didakwa dalam laporannya.

"Kami tidak boleh jalankan siasatan berdasarkan kepada andaian, jadi polis tidak berhajat untuk teruskan siasatan dan telah hentikan (siasatan) minggu lepas," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, Selasa.

Turut hadir Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat. 

Khalid bagaimanapun berkata, Khairul Azwan tidak dianggap membuat laporan polis palsu kerana naib ketua Pemuda itu mungkin berasa terpanggil untuk membuat laporan selepas membaca laporan akhbar dan mendengar cerita daripada pihak lain.

"Kami sudah nasihati dia (Khairul Azwan) supaya tidak buat lagi di masa depan. Kalau tiada alasan yang kukuh, janganlah kita buat sebarang tuduhan kerana bila laporan dibuat polis kena siasat jadi kalau benda itu tidak berasas buang masa kita sahaja. 

"Sebab itu dalam hal ini di peringkat awal lagi saya dah beritahu kami perlu soal pengadu, tengok apa dia ada...kalau dia tiada apa-apa kami tidak akan teruskan siasatan," katanya. 

Pada 26 Julai lepas, Khairul Azwan membuat laporan polis terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Dalam laporan yang dibuatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Khairul Azwan mendakwa ketiga-tiga mereka dipercayai terbabit dalam konspirasi menggulingkan Najib dan kerajaan Malaysia. - Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain