suria

Akta MKN Tangani Keganasan Dengan Lebih Baik - Panglima ATM

PETALING JAYA: Ancaman keganasan yang semakin meningkat termasuk di rantau ini memaksa penyelarasan tindakan semua agensi penguatkuasa sekiranya berlaku serangan.

Sehubungan itu Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) diperlukan bagi tujuan berkenaan.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia itu berkata, akta berkenaan akan membantu pasukan keselamatan menyelaras dan menangani sebarang bentuk ancaman atau jenayah dengan lebih baik.

"Dengan kebangkitan kumpulan-kumpulan seperti Negara Islam (IS), penyelarasan dan tindak balas yang cepat dari pelbagai agensi adalah satu kemestian.

"Apabila sesuatu kawasan keselamatan diisytiharkan, pengarah operasi akan dilantik dan mengeluarkan arahan operasi sebelum pasukan keselamatan boleh dihantar dalam mengusir pengganas," katanya.

Selain itu Zulkifeli berkata, menerusi undang-undang baharu yang berkuat kuasa pada Isnin, sesuatu kawasan hanya boleh diisytiharkan sebagai kawasan keselamatan berdasarkan cadangan dan nasihat oleh MKN dan tertakluk kepada kelulusan Parlimen.

"Jika diluluskan, pasukan keselamatan akan dapat menjalankan operasi di kawasan itu selama enam bulan.

"Oleh kerana kebanyakan operasi adalah berterusan, kita perlu memohon kepada MKN untuk lebih banyak masa. Ia sekali lagi perlu persetujuan Parlimen untuk diluluskan.

"Unsur-unsur penyalahgunaan tidak timbul kerana pengarah operasi akan mengeluarkan arahan termasuk mengenai siapa pihak yang ancaman serta Peraturan yang terlibat," katanya sambil menambah bahawa setiap pasukan keselamatan dan agensi juga terikat kepada undang-undang masing-masing, termasuk Akta Angkatan Tentera 1972.

Sebelum ini, Zulkifeli berkata anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hanya boleh melakukan tangkapan awam jika memenuhi syarat.

Pertama, tahanan bersama-sama dengan barangan yang dirampas hendaklah diserahkan kepada agensi-agensi yang berkaitan secepat yang mungkin.

"Selain itu jenayah atau kesalahan yang dilakukan mesti berlaku di hadapan kakitangan kami," katanya.

Dengan undang-undang baharu itu, Zulkifeli berkata, adalah lebih baik anggota ATM diberi kuasa untuk melaksanakan beberapa tindakan termasuk mengenakan perintah berkurung, pemeriksaan dan sekatan jalan raya.

"Di dalam kawasan keselamatan yang ditetapkan, kita kini boleh membuat tangkapan dan rampasan dan tidak perlu menyerahkan mereka kepada agensi yang berkaitan dengan segera.

"Yakinlah kita tidak boleh dan tidak akan menyalahgunakan kuasa kami kerana kami bersama-sama dengan agensi-agensi keselamatan lain mesti mematuhi arahan operasi dan undang-undang masing-masing," katanya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis tidak akan menggunakan undang-undang baharu itu dalam keadaan normal.

"Kita mempunyai undang-undang yang mencukupi untuk menangani penjenayah.

"Ia hanya akan digunakan dalam hal-hal keselamatan negara," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain