suria

Gelaran Dato' Ditarik Balik Jika Gagal Hadir Hari Hol Johor

Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

MERSING: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar memberi amaran untuk menarik balik darjah kebesaran Dato' yang dikurniakan almarhum ayahanda baginda, sekiranya individu yang menerima gelaran itu gagal menghadiri Hari Hol, setiap tahun.

Baginda bertitah amaran itu dikeluarkan berikutan terdapat segelintir daripada penerima darjah tersebut tidak menghadiri Hari Hol sebelum ini, biarpun ia diisytiharkan cuti umum di Johor sebagai memperingati kemangkatan Sultan Iskandar.

Baginda bertitah ketidakhadiran sesetengah penerima darjah itu melambangkan mereka tidak sanggup berkorban masa untuk memperingati ayahanda baginda dan tidak berminat untuk terus menjunjung kurniaan darjah tersebut.

Oleh itu, baginda bertitah adalah lebih baik jika darjah yang diterima dikorban atau dipulangkan secara hormat sebagaimana mereka menerimanya dahulu.

"Jika tidak, saya akan mengumumkan nama-nama penerima yang darjahnya ditarik balik, tidak kira sama ada penerima itu seorang menteri, jeneral atau bekas jeneral.

"Tindakan akan diambil kepada semua penerima yang gagal hadir," titah baginda bersempena Hari Ulang Tahun Ke-51 Rejimen Gerak Khas di Kem Iskandar di sini, Khamis.

Turut berangkat hadir pada majlis itu ialah Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim; Tunku Temenggong Johor Tunku Idris; Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar.

Hari Hol yang disambut pada 6 Safar setiap tahun kebiasaannya meliputi majlis tahlil dan istiadat ziarah makam Almarhum Sultan Iskandar. - Bernama

Artikel Lain