KUALA LUMPUR: Sekarang merupakan masa terbaik untuk syarikat-syarikat Malaysia melabur di Ukraine dan mengambil kesempatan daripada perjanjian perdagangan bebas negara itu dengan Kesatuan Eropah (EU), kata Presiden Ukraine Petro Poroshenko. Katanya, perniagaan Malaysia akan mendapat manfaat daripada kemudahan pengeluaran berkos rendah yang berkedudukan hampir dengan pasaran EU. "Penghantaran barang ke hab-hab Eropah dari Ukraine hanya mengambil masa selama dua hari berbanding 40 hari oleh kapal kontena dari Asia," katanya dalam ucaptama pada Forum Perniagaan Malaysia-Ukraine dan Majlis Makan Tengah Hari 2016 di sini Khamis. Majlis tersebut, dianjurkan oleh Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) dengan Kedutaan Perancis di sini, adalah sebahagian daripada program hari kedua dalam lawatan tiga hari, Poroshenko di sini. Beliau diiringi oleh isterinya, Maryna Poroshenko. Menurut Poroshenko, perniagaan yang beroperasi di Ukraine akan mendapat peluang untuk menjual produk mereka ke EU yang hampir bebas-cukai dan menikmati kos yang lebih rendah memandangkan majoriti tarif perdagangan telah dimansuhkan. "Ini adalah masa yang terbaik bagi pelabur di sini untuk melabur di Ukraine kerana terdapat banyak peluang dalam sektor ekonomi yang berbeza. "Misalnya, kami sentiasa meningkatkan amalan pertanian kami. Kami adalah antara tiga pengeksport bijian yang terbesar di dunia dan kami berminat untuk menggunakan Malaysia sebagai pintu masuk ke pasaran Asia," katanya. Malaysia berada dalam lingkungan 10 rakan perdagangan terpenting Ukraine di Asia-Pasifik, katanya. Sementara itu, Naib Presiden NCCIM, Datuk Wira Jalilah Baba, berkata dengan pendedahan tersebut, terdapat peningkatan dalam bilangan perniagaan Malaysia yang mula menyedari peluang yang ditawarkan Ukraine. Katanya, tarikan utama tawaran itu adalah liberalisasi undang-undang dan peraturan termasuk perkembangan yang lebih luas dalam sektor pembuatan serta perkhidmatan di Ukraine. "Kami sudah merancang untuk membawa delegasi ke Ukraine semasa lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan datang, bagi meneroka peluang perniagaan dan memperkenalkan produk kami untuk tujuan eksport," katanya kepada pemberita.