Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man berkata sememangnya Malaysia sebuah negara demokrasi yang tidak menghalang mana-mana kumpulan untuk menubuhkan parti politik mereka sendiri.
"Tetapi tindakan itu memberi kesan kepada kebersatuan seluruh rakyat," katanya kepada pemberita selepas tamat persidangan Dewan Undangan Negeri Perlis ke-13 di sini hari ini.
Azlan mengulas hasrat bekas timbalan perdana menteri itu yang akan membuat permohonan untuk mendaftarkan sebuah parti politik baharu dalam masa terdekat.
"Saya yakin rakyat yang berfikir, tidak akan terpedaya lagi dan dalam kalangan ahli Umno yang betul-betul berpegang kepada kesetiaan dan perjuangan, parti tidak akan goyah.
"Perjuangan Umno jelas dan berada pada landasan yang betul, adanya sebuah lagi parti baharu tidak bermakna apa-apa bagi Umno walaupun mungkin anggotanya terdiri daripada bekas ahli tertinggi Umno itu sendiri," katanya.