KUALA LUMPUR: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) menyambut baik inisiatif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membantu peminjamnya menguruskan penjadualan pembayaran balik pinjaman dan proses pembelian rumah. Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir berkata Program Pengurusan Kredit (PPK) mampu memberi kelegaan kepada peminjam daripada belenggu hutang dan dapat meneruskan kehidupan dengan aktiviti yang lebih produktif dan berfaedah. Azaddin berkata program tersebut merupakan satu jalan penyelesaian yang terbaik dalam mengatasi kemelut hutang yang dialami mereka. "Bagi peminjam PTPTN, sasaran AKPK melalui PPK adalah mereka yang gagal membuat pembayaran balik pinjaman dan pada masa sama, mempunyai hutang dengan lain-lain penyedia pinjaman. "Golongan ini dijangka menghadapi kesukaran berurusan sendiri bagi merumuskan satu kaedah penyelesaian yang bersesuaian dan dapat diterima oleh semua pemberi pinjaman yang ada," katanya dalam kenyataan kepada Bernama di sini. Azaddin turut menyarankan kepada semua peminjam PTPTN untuk mendapatkan perkhidmatan kaunseling dan melibatkan diri dalam program pendidikan kewangan di AKPK bagi meningkatkan ilmu dan pengetahuan berkaitan pengurusan wang dan kredit. Selain itu, program tersebut turut dibuat di institusi pengajian tinggi dan ia akan berterusan dari semasa ke semasa bagi memastikan pendedahan program pengurusan kewangan berkenaan dapat didedahkan daripada peringkat awal lagi. Sementara itu, PR1MA juga menyambut baik usaha proaktif yang diambil PTPTN dalam menyelesaikan kemelut yang dihadapi peminjam mereka yang mahu membeli rumah namun nama mereka telah disenaraihitamkan. PR1MA dalam kenyataannya kepada Bernama berkata, ia sentiasa bersedia bekerjasama dalam menangani masalah itu bagi membantu mereka dalam proses membeli rumah. "Bermula dari Jun tahun ini, setiap acara pemilihan unit kediaman PR1MA yang dianjurkan di seluruh negara menyediakan satu kaunter rundingan khas bagi bakal pembeli rumah, kata kenyataan itu. Kaunter rundingan khas itu dapat membantu peminjam menyemak dan berunding mengenai pinjaman PTPTN mereka. Panel bank PR1MA turut menawarkan pelbagai pembiayaan mesra pembeli untuk menggalakkan dan memudahkan pemilikan kediaman PR1MA. Bagaimanapun, kemudahan tersebut hanya diberikan kepada pemohon yang tidak disenaraikan dalam CCRIS (Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS), tambah kenyataan itu lagi. PR1MA turut berharap bakal pembeli dapat menjelaskan pinjaman mereka yang tertunggak atau berbincang dengan PTPTN untuk menyelesaikan masalah itu, sebelum membeli kediaman PR1MA. Pada 15 Feb lepas, AKPK dan PTPTN telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menstrukturkan semula pembayaran balik peminjam PTPTN yang culas untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.