suria

Khairuddin Tak Minat Sertai Parti Dr Mahathir

PETALING JAYA: Bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan tidak akan menyertai parti politik baharu yang diusahakan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Keputusan Khairuddin itu bagaimanapun agak mengejutkan kerana beliau sering dikaitkan sebagai penyokong kuat bekas perdana menteri tersebut.

Tegas Khairuddin, beliau tidak mempunyai cita-cita dalam politik dan memilih untuk berjuang menentang rasuah atas kapasiti individu tanpa terikat dengan mana-mana parti politik.

"Saya tidak bercadang dan tidak berminat untuk menyertai parti baharu yang bakal dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin kelak.

"Saya tidak perlu berada dalam parti politik baharu untuk mencapai matlamat melawan penyelewengan kes skandal 1MDB. Sebelum Tan Sri Muhyiddin bercakap tentang isu 1MDB, saya secara bersendirian telah pun mengambil langkah proaktif memerangi kes itu bersama dengan beberapa pemimpin pembangkang," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini menerusi posting di Facebook, Muhyiddin yang juga bekas timbalan perdana menteri menyatakan akan menyerahkan permohonan penubuhan parti baharu kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) dalam masa terdekat.

Sementara itu mengulas mengenai hubungannya dengan Dr Mahathir, Khairuddin berkata beliau akan terus setia dan taat kepada bekas pemimpin Umno itu atas kapasiti peribadi.

"Hubungan peribadi saya dengan Dr Mahathir akan tetap terjalin erat. Tidak ada sesiapa yang boleh pisahkan saya dengan Dr Mahathir. Hanya Allah yang mampu pisahkan saya dengan beliau.

"Secara peribadi juga saya akan tetap memberi apa saja bentuk bantuan yang diperlukan oleh Dr Mahathir pada setiap detik dan setiap masa," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain