suria

Masjid Baharu Bernilai RM4 Juta Dibina Di Bukit Gambir

TANGKAK: Sebuah masjid baharu bernilai RM4 juta yang berupaya menampung 1,700 jemaah sedang dibina di Bukit Gambir, dekat Ledang, di sini.

Anggota Parlimen Ledang Datuk Hamim Samuri berkata pembinaan masjid baharu itu dibuat bagi menggantikan masjid lama iaitu Majid Jamek Bukit Gambir yang tidak lagi mampu menampung jumlah jemaah yang semakin ramai terutama pada solat Jumaat dan solat sunat hari raya.

"Pembinaan masjid baharu adalah bersesuaian dengan tuntutan semasa apabila  jumlah penduduk di kawasan ini semakin bertambah setiap tahun dan ia dijangka siap sepenuhnya pada September tahun depan," katanya, yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Hamim berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pecah tanah masjid baharu Bukit Gambir di sini Jumaat.

Beliau berkata projek berkenaan membabitkan pembinaan bangunan masjid yang baru serta kerja pengubahsuaian bangunan masjid lama yang akan dijadikan sebagai dewan serbaguna.

Hamim berkata kementeriannya akan membantu dari segi penyediaan landskap dan meletakkan masjid itu ke dalam program anak angkat Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Apabila projek itu siap nanti, beberapa pokok spesies hutan tempatan seperti pokok gambir turut akan ditanam menerusi program penanaman yang melibatkan pelajar sekolah dan pelajar tadika, katanya lagi. - BERNAMA

Masjid Bukit Gambir

Artikel Sebelum

Gempa Bumi Lemah Di Ranau

Artikel Berikut

Artikel Lain